Buletin

GEELY BANGUNKAN TEKNOLOGI 1,000V, SASAR CAS EV BAWAH 5 MINIT

Geely Holding Group sedang membangunkan seni bina elektrik berkuasa tinggi 1,000 volt (1,000V) sebagai langkah seterusnya dalam perlumbaan teknologi pengecasan pantas kenderaan elektrik (EV), dengan sasaran memendekkan lagi tempoh pengecasan bateri daripada 10 hingga 80 peratus yang kini mampu dicapai dalam sekitar 5.5 minit.

Pengeluar automotif dari Hangzhou itu memaklumkan bahawa mereka kini giat memperluaskan penggunaan sistem 800V dalam barisan model EV mereka bagi menawarkan pengecasan lebih pantas, jarak pemanduan lebih jauh dan kecekapan tenaga yang lebih baik.

Sistem 800V Geely merangkumi pelbagai komponen utama termasuk pek bateri, motor elektrik, pengawal kuasa, pengecas, sistem pendawaian serta struktur badan kenderaan yang direka khusus untuk menyokong operasi voltan tinggi.

Sebelum ini, sedan elektrik Lynk & Co 10 mencuri perhatian apabila dilaporkan mampu mengecas bateri daripada 10 kepada 97 peratus dalam tempoh hanya 8 minit 42 saat.

Model itu juga berjaya mencapai tahap pengecasan 10 hingga 80 peratus dalam masa 5 minit 32 saat ketika ujian dilakukan.

Walaupun ada pihak mendakwa Lynk & Co 10 menggunakan seni bina 900V, spesifikasi sebenar menunjukkan bateri berkapasiti 95kWh pada model itu mempunyai voltan nominal 772.8V, sekali gus meletakkannya dalam kategori sistem 800V.

Geely kini melihat teknologi 1,000V sebagai langkah seterusnya untuk meningkatkan prestasi pengecasan EV.

Selain pembangunan seni bina baharu itu, syarikat tersebut turut mengusahakan sistem rangkaian kuasa yang beroperasi pada voltan lebih tinggi.

Pada Mac 2026, Geely mengumumkan pembinaan lebih 2,100 unit pengecas pantas berjenama Zeekr yang mampu menghasilkan kuasa puncak sehingga 1,500kW.

Namun, kebanyakan model EV dalam kumpulan Geely ketika ini masih belum dapat memanfaatkan sepenuhnya kapasiti maksimum yang ditawarkan oleh infrastruktur tersebut.

Sebagai contoh, Lynk & Co 10 merekodkan kuasa pengecasan tertinggi sekitar 1,100 kW ketika menggunakan stesen pengecas Zeekr.

Menariknya, apabila diuji pada stesen pengecas pantas milik BYD, model sama hanya mencapai kuasa puncak sekitar 430kW.

Perkembangan ini memberi petunjuk bahawa seni bina 1,000V yang sedang dibangunkan bakal membolehkan model-model Geely menggunakan sepenuhnya keupayaan pengecas 1,500kW pada masa hadapan.

Jika teknologi tersebut berjaya direalisasikan, tempoh pengecasan EV dijangka menjadi lebih singkat berbanding pencapaian semasa, sekali gus menghampirkan pengalaman pemilikan kenderaan elektrik kepada kemudahan mengisi bahan api kenderaan enjin pembakaran dalaman.

Google ads
Back to top button