Buletin

BANDAR NEW YORK KINI BURU KERETA BISING

Bandar New York kini melaksanakan sistem pengesanan bunyi bising secara automatik bagi mengekang kemasukan kereta-kereta bising.

Sistem tersebut tidak lagi memerlukan kehadiran anggota polis di tempat tertentu, sebaliknya ia menggunakan sistem yang dilengkapi dengan meter desibel bagi mengukur tahap kebisingan yang dihasilkan, serta sistem kamera bagi membuat pengecaman nombor pendaftaran kenderaan pesalah.

Sekiranya disabitkan kesalahan, surat rasmi akan dihantar terus ke rumah anda.

Menurut gambar yang dimuatnaik menerusi laman FB Lowered Congress, seorang pemilik BMW M3 telah mendapat surat notifikasi disebabkan bunyi yang terlalu bising dan tidak mematuhi peraturan Section 386 of the Vehicle and Traffic Law.

Surat itu turut meminta pemilik untuk hadir ke lokasi yang telah ditetapkan untuk pemeriksaan lanjut.

Sekiranya pemilik gagal hadir, mereka akan dikenakan saman maksimum $875 (RM3,666) tidak termasuk penalti tambahan akibat tidak menghiraukan arahan pihak berkuasa.

Walau bagaimanapun, wakil daripada Department of Environmental Protection (DEP) New York memberitahu laman Road & Track, langkah ini merupakan sebahagian daripada projek percubaan yang dilaksanakan sejak September 2021.

Program percubaan ini akan dinilai semula pada 30 Jun ini untuk menentukan sama ada ia akan diteruskan atau terus dihentikan.

Sumber: Road & Track

Google ads
Back to top button