Motosikal

BUAT EKZOS BISING SEBAB NAK HALAU MONYET DAN BABI DI KEBUN PISANG

Alasan seorang lelaki memasang ekzos berbunyi bising untuk menakutkan monyet dan babi hutan di kebun pisangnya tidak berjaya mengelakkannya daripada dikenakan tindakan oleh polis.

“Ekzos bising ini monyet takut tuan. S,ebab itu saya pakai (ekzos) kalau hendak halau monyet dan babi hutan di kebun pisang,” katanya yang ditahan dalam Ops Khas Ekzos Bising di Jalan Genuang di sini, kelmarin.

Lelaki berusia 35 tahun itu juga dikatakan merayu supaya tidak dikenakan tindakan undang-undang. Dia mendakwa ekzos motosikalnya tidak pernah mengganggu ketenteraman, tetapi hanya untuk menghalau haiwan di kebunnya.

Bagaimanapun, alasan lelaki itu tidak dilayan dan dia diminta ke Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat untuk pemeriksaan tahap bunyi ekzos oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat, berkata polis sudah memeriksa sebanyak 41 motosikal dalam operasi itu di sekitar daerah ini sejak 1 Mac lalu hingga kelmarin.

Beliau berkata, sebanyak sembilan motosikal gagal ketika pemeriksaan pencemaran bunyi dilakukan anggota JAS.

“Mereka yang melakukan kesalahan ini berusia antara 16 hingga 40 tahun.

“Siasatan mendapati, ekzos bunyi bising pelbagai bentuk ini dibeli antara RM180 hingga RM900. Penunggang juga mahu mendapat perhatian umum di lokasi tumpuan ramai antaranya sekitar pasar raya dan laluan utama bandar,” katanya.  

Menurut Raub, setiap pemilik motosikal yang dikenakan tindakan kerana mengubah suai ekzos perlu memasang semula ekzos asal sekiranya mahu menuntut semula kenderaan mereka yang disita sebelum ini. – Berita Harian

Google ads
Back to top button