Motosikal

BERHABIS RM15K UBAH SUAI YSUKU, MOTOSIKAL DISITA POLIS PULA

Hasrat seorang lelaki menunjukkan kehebatan Yamaha 15ZR yang telah diubah suai untuk pertandingan pertunjukan motosikal tidak kesampaian apabila motosikalnya itu disita polis.

Lelaki berusia 28 tahun terbabit ditahan dalam Operasi Khas Bunyi Bising oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di ibu kota, malam tadi.

Dia yang bekerja sebagai mekanik mendakwa membelanjakan lebih RM15,000 untuk mengubah suai motosikal yang juga dikenali sebagai Ysuku itu.

“Saya buat sendiri (ubah suai) sebab kalau hantar bengkel mungkin kosnya lebih tinggi. Lagipun saya sudah biasa buat ubah suai.

“Sebelum ini saya simpan motosikal itu di rumah untuk pertandingan saja. Tapi semalam saya terpaksa bawa yang ini kerana sebuah lagi motosikal digunakan bapa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media Operasi Khas Bunyi Bising di JSPT Kuala Lumpur semalam.

Dia merupakan antara 79 penunggang motosikal yang disaman oleh JSPT Kuala Lumpur atas kesalahan mengubah suai ekzos dalam operasi yang dijalankan sejak 1 Mac sehingga semalam.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya memberitahu, sebanyak 2,495 kenderaan telah diperiksa dan 1,400 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi berkenaan dilaksanakan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 79 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal atas kesalahan mengubahsuai ekzos. Sementara 40 saman dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan 90 saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas kesalahan sama.

Sejumlah 84 kenderaan disita untuk pemeriksaan lanjut. Kenderaan akan diserah semula selepas tindakan menggantikan ekzos dilakukan.

“Semua penunggang yang ditahan dan disaman dalam operasi itu berusia antara 18 hingga 35 tahun. Mereka dikesan melakukan pengubahsuaian kenderaan tanpa kebenaran dan ekzos bunyi bising melebihi paras bunyi ditetapkan,” katanya.

Tindakan saman bagi ubahsuai ekzos dilakukan mengikut Kaedah 103 dan 109 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959).

Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 60 dan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Harian Metro

Google ads
Back to top button