
BEG UDARA CHINA DIDAKWA RAGUT 10 NYAWA, NHTSA BUKA SIASATAN
Siasatan baharu di Amerika Syarikat mendapati beg udara keluaran China mungkin menjadi punca beberapa kematian dalam kemalangan jalan raya, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan komponen gantian yang diimport secara tidak sah.
Menurut National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA), penemuan awal menunjukkan inflator beg udara yang dipercayai berkualiti rendah itu dikaitkan dengan 10 kematian serta dua kecederaan serius dalam 12 kemalangan sepanjang tiga tahun lalu.
Kesemua insiden melibatkan beg udara pemandu hadapan yang dihasilkan oleh Jilin Province Detiannuo Safety Technology Co., Ltd. (DTN), didapati pecah ketika pelanggaran berlaku.
Apabila inflator tersebut meletup, serpihan logam dilaporkan terpelanting ke arah pemandu, mengenai bahagian dada, leher, mata dan muka.
Situasi ini mengingatkan kepada skandal besar beg udara Takata Corporation yang pernah mencetuskan panggilan balik terbesar dalam sejarah automotif dan masih dikaitkan dengan kematian hingga kini.
Setakat ini, semua kemalangan yang dikenal pasti berlaku pada model Chevrolet Malibu dan Hyundai Sonata.
Bagaimanapun, NHTSA menegaskan pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada risiko itu terhad kepada dua model tersebut sahaja.
Kes seperti ini sukar dikesan lebih awal kerana beg udara tersembunyi di dalam stereng dan papan pemuka, serta hanya berfungsi ketika kemalangan.
Justeru, NHTSA menggesa pemilik kenderaan terpakai menyemak sejarah kenderaan mereka, khususnya jika pernah terlibat dalam kemalangan.
Sekiranya beg udara pernah digunakan, kenderaan perlu diperiksa mekanik bertauliah bagi memastikan komponen gantian adalah sah dan setara dengan spesifikasi asal.
Siasatan terhadap inflator DTN bermula pada Oktober tahun lalu. Agensi itu percaya komponen tersebut dibawa masuk oleh pengimport yang tidak dikenal pasti, berkemungkinan secara haram.
Menurutnya, keadaan ini menyukarkan pihak berkuasa menentukan jumlah sebenar inflator terlibat yang sudah berada di jalan raya.
NHTSA memaklumkan siasatan masih berjalan. Mengikut prosedur undang-undang, agensi itu perlu mendapatkan maklum balas awam serta memberi peluang kepada pengeluar mengemukakan penjelasan.
Pada masa sama, pihak berkuasa turut menilai kemungkinan mengharamkan penjualan beg udara berkenaan jika risiko keselamatan disahkan.
- BACA: INSENTIF PELABURAN PERLU BERI MANFAAT KEPADA SELURUH RANTAIAN BEKALAN AUTOMOTIF – PVA
- BACA: KTM RC 450 2026 SERBA BAHARU LANCAR DI CHINA – ENJIN CFMOTO, 56HP
- BACA: SYARIKAT RUGI 8.2 BILLION USD. TAPI CEO, PENGERUSI DAN CFO FORD MASYUK TERUK
- BACA: VOLVO XC90 – FACELIFT & FACELIFT. TETAP SEGAK BERGAYA








