Motosikal

KTM RC 450 2026 SERBA BAHARU LANCAR DI CHINA – ENJIN CFMOTO, 56HP

Selepas timbul dalam dokumen kelulusan jenis kenderaan (VTA) yang difailkan di China, KTM dengan rasminya melancarkan KTM RC 450 2026 di negara itu. 

Mengapa pelancaran sulung diadakan di China memandangkan KTM adalah jenama Eropah? Ini kerana selain menggunakan enjin dari CFMoto 450SR, CFMOTO juga bertanggungjawab menghasilkan RC 450 di sana di samping model KTM 790.

Enjin CFMOTO

Pertamanya, KTM RC 450 mengguna pakai enjin yang dipinjamkan terus dari CFMoto 450SR namun dengan talaan yang berbeza bagi memastikan unit dua silinder 449.5cc dengan 270-degree crank itu menghasilkan karakter agresif KTM. 

Hasilnya, enjin pada RC 450 itu kini menawarkan 56.2hp pada 10,000rpm dan 40Nm pada 8,000rpm. Sekadar perbandingan, 450SR menawarkan 50hp pada 7,600rpm dan 39Nm pada 7,750rpm. 

Kuasa pula disalurkan menerusi transmisi manual 6-kelajuan dengan bantuan bi-directional quickshifter (up-shift dan auto-blipper) dan slipper clutch. Menurut KTM, RC 450 ini mampu mencapai kelajuan lebih 195km/j. 

Dari sudut rekaan, RC 450 mengekalkan DNA RC termasuk bentuk panel badan yang bersegi. Melihat kepada reka bentuk keseluruhan, jelas model RC 990 menjadi inspirasi utama. 

Casis dan suspensi

Seperti model KTM sedia ada, RC 450 ini juga dilengkapi dengan pakej suspensi dan brek dari jenama WP. 

Suspensi depan menggunakan WP Apex 41mm dengan pelarasan compression dan rebound manakala penyerap hentak belakang menggunakan jenis multi-link dengan pelarasan preload dan rebound. Steering damper dari WP juga didatangkan secara standard. 

Brek pula terdiri dari kaliper empat piston di hadapan dan dipadankan bersama cakera 320mm depan dan 240mm belakang. ABS dual-channel juga didatangkan secara standard. 

Peminat CFMoto juga pastinya menyedari bahawa seperti 450SR, kembar jahat dari KTM ini juga menawarkan single-sided swingarm. 

Turut melengkapkan RC 450 adalah tangki bahan api berkapasiti 14L yang menyumbang kepada berat keseluruhan hanya 168kg. Ketinggian tempat duduk pula adalah 810mm, 15mm lebih tinggi dari 450SR. 

Elektronik

Menariknya, KTM menyuntik RC 450 dengan pelbagai ciri elektronik termasuk ride-by-wire, Cornering ABS, traction control, mod SuperMoto dan TPMS. Tidak cukup dengan itu, RC 450 ini juga dilengkapi dengan fungsi cruise control. Segala maklumat motosikal boleh diakses menerusi paparan skrin TFT serba baharu.

Untuk rekod, KTM RC 450 ini ditawarkan di China dengan harga jualan RMB34,900 (RM20.4k). 

GALERI: KTM RC 450 2026

Google ads
Back to top button