Pandu Uji

VOLVO XC90 – FACELIFT & FACELIFT. TETAP SEGAK BERGAYA

Volvo XC90 sememangnya dikenali sebagai salah satu SUV premium yang membawa pendekatan berbeza berbanding pesaing Jerman. Ia tidak cuba untuk menjadi laju atau menjadi terlalu lincah di selekoh. XC90 hanya menggilap karekter yang ada pada dirinya semenjak dulu lagi

Mudah saja, XC90 adalah sebuah SUV besar 3 baris tempat duduk dengan 7 penumpang untuk sebuah keluarga bahagia. Ia menjadi pilihan ayah atau abah bagi membawa satu keluarga berjalan-jalan dengan selamat dan aspek keselamatan ini sentiasa dipertingkat oleh Volvo

Untuk versi facelift terbaharu ini, Volvo tidak melakukan perubahan secara radikal sebaliknya menambah baik elemen sedia ada bagi memastikan model ini kekal relevan dari segi reka bentuk, teknologi dan pengalaman pemanduan.

Hasilnya ialah sebuah SUV yang tampil lebih matang, lebih kemas dan masih mengekalkan identiti Scandinavian yang menjadi kekuatan utama Volvo. Dari segi luaran, perubahan paling ketara dapat dilihat pada bahagian hadapan yang kini menampilkan rekaan gril yang dipasang pada sudut 45 darjah dan rekaan bampar yang baharu.

Rekaan ini memberikan imej yang lebih moden dan eksklusif tanpa perlu kelihatan terlalu agresif. Lampu utama pula masih mengekalkan identiti ikonik “Thor’s Hammer”, namun dengan sentuhan terkini yang menjadikannya lebih tajam dan sofistikated.

Malah lampu ini menawarkan ciri LED matrix pada waktu malam, menyinari kawasan gelap dan pada masa yang sama merendahkan lampu pada pengguna jalan raya yang lain. Untuk di bahagian belakang, paip ekzos disembunyikan bagi memberikan imej SUV elektrik sedangkan logo tertera ialah T8 PHEV

Selain itu, rekaan rim baharu turut melengkapkan penampilan keseluruhan selain Volvo menawarkan 2 pilohan warna baru untuk pelanggan samaada Aurora Silver atau Mulberry Red. Manakala sistem suspensi udara automatik terus ditawarkan bagi memberikan keseimbangan antara keselesaan dan kestabilan ketika pemanduan.

Sebagai sebuah SUV keluarga, aspek praktikaliti turut diberikan perhatian. Volvo XC90 menawarkan ruang kargo bermula dari 302 liter dan boleh diperluaskan sehingga 640 liter apabila tempat duduk dilipat. Ini menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jauh bersama keluarga tanpa kompromi dari segi ruang penyimpanan.

Memasuki ruang kabin, pendekatan minimalis Volvo jelas terserlah, namun setiap perincian yang ditawarkan memberikan rasa mewah yang sebenar. Sama seperti sebelum ini, rekaan dalaman XC90 mengambil inspirasi rekaan rumah Scandinavian

Ringkas tapi mewah dengan pemilihan bahan yang berkualiti tinggi. Ia menampilkan suasana tenang, premium dan selesa dengan gabungan elemen kulit, balutan fabrik jeans, material seakan kayu dan kemasan krom yang minima.

Malah Volvo mengekalkan Sistem infotainment bersaiz 11.2 inci menjadi pusat kawalan utama, dipadankan dengan susun atur papan pemuka yang ringkas tetapi elegan. Sistem audio premium Bowers & Wilkins dengan 19 pembesar suara pula memberikan pengalaman bunyi yang sangat berkualiti, setanding dengan sistem audio terbaik dalam segmennya.

Antara elemen unik yang membezakan XC90 ialah penggunaan tombol gear kristal daripada Orrefors, yang bukan sahaja berfungsi sebagai kawalan transmisi, tetapi juga sebagai simbol kemewahan halus yang sinonim dengan jenama Volvo.

Kemudahan lain seperti pengecas tanpa wayar dan fungsi lipatan pada headrest turut menambah nilai dari segi praktikaliti dan keselesaan. Volvo juga turut mengekalkan beberapa butang fizikal untuk kawalan penting seperti pembesar suara, kawalan muzik dan butang memori simpanan tempat duduk pemandu dan penumpang depan.

Bahagian tempat duduk tengah pula direka dengan jelas untuk kegunaan keluarga. XC90 dilengkapi dengan tempat duduk kanak-kanak terbina dalam, satu ciri yang jarang ditemui dalam kenderaan moden. Dan sekiranya penulis ingin menyenaraikan semua ciri keselamatan yang ada pada XC90, artikel ini akan menjadi terlalu panjang

Sistem penyaman udara tiga zon memastikan setiap penumpang mendapat tahap keselesaan yang optimum, manakala ventilasi tambahan pada bahagian B-pillar serta pada bahagian tengah membantu mengagihkan aliran udara dengan lebih sekata ke bahagian belakang kabin. Malah tempat duduk barisan ke tiga turut ditawarkan dengan corong penyaman udara.

Dari sudut prestasi, varian T8 Twin Charge Plug-in Hybrid (PHEV) menjadi pilihan paling berkuasa dalam barisan XC90. Ia menggabungkan enjin 2.0 liter dengan sistem turbo yang menghasilkan 317 PS dan 400 Nm, bersama motor elektrik yang menyumbang tambahan 145 PS dan 309 Nm.

Secara keseluruhan, gabungan sistem ini menghasilkan kuasa maksimum 462 PS dan tork setinggi 709 Nm. Prestasi pecutan dari 0 hingga 100 km/j hanya mengambil masa sekitar 5.2 saat, satu angka yang sangat mengagumkan bagi sebuah SUV tujuh tempat duduk.

Walaupun memiliki prestasi tinggi, Volvo tetap mengekalkan falsafah keselamatan mereka dengan mengehadkan kelajuan maksimum kepada 180 km/j. Pendekatan ini mencerminkan komitmen jenama tersebut dalam memastikan keseimbangan antara prestasi dan keselamatan, tanpa mengorbankan pengalaman pemanduan secara keseluruhan.

Untuk pandu uji kali ini, penulis cuba memandu dengan berhemah walaupun sesekali terlepas juga rasa geram dengan menekan pedal minyak. Secara purata penggunaan petrol adalah sekitar 15.8km/liter petrol, angka yang memberansangkan daripada sebuah SUV berkuasa tinggi.

Pecutan yang dibuat oleh SUV ini cukup ganas, mampu membuatkan kebanyakan kereta geran di tangan terdiam setiap kali XC90 mengaum di laluan lurus. Tekan pedal, kawal stering, potong kereta lembap dan masuk semula di lorong yang betul. Semuanya dibuat dengan tertib oleh XC90 semasa melalui jalan persekutuan Grik-Jeli

Namun sebaik sahaja melalui selekoh, XC90 yang direka untuk keselesaan seperti tidak menggemari laluan dengan selekoh pendek tajam. Sistem suspensi XC90 terdiri daripada air-suspension yang boleh melaras ketinggian (ride height) berdasarkan kelajuan. Ia direka untuk menyerap semua permukaan jalan dengan cemerlang

Tapi apabila di selekoh, gabungan sistem suspensi yang agak lembut, cesi yang tinggi dengan rim 20 inci dan berat mula menunjukkan kelemahan. Ia seperti berayun kiri ke kanan dan ayunan ini tidak memberi keyakinan kepada penulis untuk mengeksploitasi semua kuasa yang ada pada XC90

Apatah lagi rasa yang dihasilkan oleh stering seperti rasa sedikit “kosong” jika dibandingkan dengan stering daripada jenama Jerman atau Mazda. Jadi penulis tukar sahaja strategi pemanduan, laju di laluan lurus, brek dengan lembut sebelum selekoh, biarkan XC90 meluncur di selekoh dan pecut semula

Jadi sebaik tiba di selekoh, penulis akan membrek sedikit bagi mengecaj bateri atau menggunakan tombol gear bagi menurunkan gear dan menghasilkan engine braking. Dengan kelajuan yang lebih perlahan, XC90 seakan seperti selesa dipandu. Mungkin ia kalah di selekoh tapi XC90 menang dari segi keselesaan.

Anda boleh membrek dengan kuat tapi ayunan cesi masih lagi minima, bunyi tayar yang hampir tidak kedengaran, dan secara jujurnya penulis boleh memandu selama 4 jam terus menerus tanpa rehat hasil bantuan kusyen yang sangat ergonomik.

Sepanjang pengalaman penulis, jarang sekali jentera dari Eropah boleh memberikan pengalaman pemanduan yang selesa seperti XC90 ini. Apatah lagi sepanjang pemanduan penulis mainkan lagu menerusi pembesar suara Bowers & Wilkins dengan perlahan tapi sudah cukup “sampai” pada telinga.

Secara keseluruhannya, Volvo XC90 facelift merupakan sebuah SUV premium yang tidak cuba untuk menjadi terlalu menonjol, sebaliknya menawarkan kemewahan dalam bentuk yang lebih tenang dan sofistikated. Ia sesuai untuk mereka yang menghargai kualiti binaan, teknologi yang praktikal serta tahap keselamatan yang tinggi, sambil masih menikmati prestasi yang mengagumkan.

Bagi varian T8, XC90 boleh dipandu sejauh 77km berdasarkan saiz bateri 18.8kWh yang boleh dicaj selama 5 jam dengan pengecas AC 3.7kW atau 3 jam dengan AC 6.4kW. Volvo XC90 T8 PHEV Ultra ini dijual pada harga sekitar RM 418,000 untuk pasaran Malaysia

Google ads
Back to top button