Buletin

BELANJAWAN 2026: KERAJAAN HADKAN PENGECUALIAN CUKAI KENDERAAN DI LANGKAWI, LABUAN

Kerajaan akan mengehadkan pengecualian cukai kenderaan di Langkawi dan Labuan kepada kenderaan yang bernilai tidak melebihi RM300,000 berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia sebagai langkah tegas menangani ketirisan akibat penyalahgunaan kemudahan itu oleh golongan berpendapatan tinggi.

Katanya, terdapat segelintir pemilik kenderaan mewah yang mengambil kesempatan terhadap kelonggaran pengecualian cukai itu di kedua-dua wilayah berkenaan.

“Orang maha kaya beli mobil mewah, guna kelonggaran ini dan bawa keluar serta kekalkan bertahun-tahun sehingga harganya turun,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjelaskan tujuan asal pengecualian cukai itu adalah untuk memberi kemudahan kepada penduduk di Langkawi dan Labuan, namun kini disalah guna oleh golongan berada sebagai jalan untuk mengelak daripada membayar cukai.

“Sekarang (kemudahan ini) digunakan oleh golongan kaya untuk lari daripada bayar cukai, sebab itu kita ambil tindakan tegas kali ini,” tegas Perdana Menteri. – Buletin TV3

Google ads
Back to top button