Buletin

BMW BAKAL BAWAKAN GAME, BOLEH MAIN DALAM KERETA

Mengikut jejak langkah Tesla, BMW bakal membawakan penawaran permainan video yang boleh dimainkan secara terus dari skrin infotainmen keretanya kelak.

BMW bekerjasama dengan AirConsole untuk membawakan ciri pemain tunggal atau berbilang pemain, di mana para pemain boleh menggunakan peranti pintar sebagai alat kawalan.

Berdasarkan laman web AirConsole, syarikat itu menawarkan sehingga 185 buah judul game seperti Let’s Cook Together, Mega Monster Party, GoKartGo!, 8Bit FIesta dan banyak lagi permainan kasual, namun tidak dapat dipastikan judul manakah yang bakal dibawakan ke dalam sistem infotainmen BMW.

Seperti yang diterangkan, pemain hanya perlukan peranti pintar masing-masing, di mana setiap pemain akan dikehendaki untuk mengimbas kod QR yang disertakan.

Difahamkan, ciri baharu ini akan diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2023.

Mungkin ciri ini boleh dinikmati dengan lebih baik di dalam sebuah BMW 7 Series yang dilengkapi dengan skrin BMW Theatre Screen sebesar 31 inci itu, berbanding model-model lain dengan skrin yang agak kecil.

Google ads
Back to top button