Buletin

BMW M2 COUPE – 365hp & TORK 500Nm, RM535,800 SEUNIT!

BMW Group Malaysia semalam memperkenalkan model berprestasi tinggi terbaharunya, BMW M2 Coupé.

“BMW M2 Coupé benar-benar menggambarkan keupayaan kami dalam menghasilkan kereta dua pintu, jarak roda pendek dan kereta sport pacuan roda belakang yang dinamik dan premium,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun.

Dibina oleh M Division, jentera itu tampil dengan gayaan lebih agresif menerusi lampu hadapan bi-LED baru yang menggantikan lampu xenon pada model terdahulu.

Bahagian belakang diserlahkan dengan ekzos berkembar M dan lampu LED baharu sepenuhnya. Rim aluminium bersaiz 19 inci dengan reka bentuk jejari berkembar M menyempurnakan lagi penampilan luaran BMW M2 Coupé.

Ruang kabin dimonopoli oleh tona hitam bersama jahitan berwarna kontras, sistem infotaimen baru dan skrin sentuh. Ia turut didatangkan dengan ciri Apple Car Play pada BMW ConnectedDrive Store.

BMW M2 Coupé dijana oleh enjin enam silinder sebaris M TwinPower Turbo bersesaran 3.0 liter. Ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 365hp dan tork maksimum 500Nm dengan fungsi overboost.

Kemantapan pemanduan disumbang oleh sistem suspensi M Sport yang dinamik dan selesa. Lebih menarik lagi, ciri M Dynamic Mode (MDM) membolehkan anda membuat aksi drift secara terkawal.

BMW M2 Coupé didatangkan dalam warna biru, hitam, putih dan kelabu. Harganya pula ialah RM535,800 seunit (di atas jalan tidak termasuk insurans).

GALERI

Google ads
Back to top button