
ISU RFID: PENGGUNA PERLU DIBERI OPSYEN-PM
Pengguna Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) perlu diberikan pilihan dan tidak dipaksa untuk menerima sistem bayaran tol secara Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sambil menambah, jika ia perlu dikenakan kos bayaran tertentu, isu itu wajar dibawa kepada rujukan Kabinet.
“Saya sudah pun arah Menteri Kerja Raya (Datuk Seri Fadillah Yusof) untuk panggil syarikat pemegang konsesi (PLUS Expressway Berhad) untuk bincang dulu pelaksanaan sistem ini.
“Malah, mesyuarat mingguan Kabinet bersetuju supaya kalau ada melibatkan bayaran tertentu oleh pengguna, mereka (syarikat konsesi) kenalah rujuk kepada Kabinet,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Eksklusif Bersama Perdana Menteri dan melancarkan Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia.
Isu RFID menarik perhatian ramai apabila dilaksanakan PLUS bermula 15 Januari lalu yang meliputi kenderaan kelas 1 bermula dari Plaza Tol Juru di Pulau Pinang hingga Skudai, Johor.
Sebelum itu, projek perintis tersebut sudah dilaksanakan secara ujian melibatkan Plaza Tol Hutan Kampung di utara Kedah sehingga Sungai Dua, Pulau Pinang pada awal 2020 lalu.
Peralihan kepada sistem itu menjadi tular apabila PLUS menggantikan laluan Smart TAG kepada RFID selain pelbagai kelemahan peranti baharu tersebut dan kosnya yang amat mahal.
Ismail Sabri berkata, pengguna wajar diberikan alternatif dan bukan dipaksa sehingga mencetuskan kemarahan seolah-olah kerajaan langsung tidak ada bertimbang rasa.
“Dulu pun masa mula diperkenalkan Touch & Go, PLUS tetap masih ada lorong tunai sebagai opsyen dan apabila dilancarkan Smart TAG pula, sistem sedia ada tetap pun kekal. Justeru, Kita mahu pengguna diberikan pilihan dan bukannya dikenakan tekanan walaupun sistem RFID didakwa sebagai kaedah lebih baik apabila melancarkan perjalanan di plaza tol.
“Pada masa sama, kita meminta lorong Touch & Go dan Smart TAG masih lagi ada dan bukannya dikurangkan terus untuk pilihan pengguna yang enggan atau belum memasang RFID. Sehubungan itu, kita memberi jaminan bahawa kerajaan mendengar suara rakyat dan berjanji tidak mengenepikan kebajikan pengguna lebuh raya yang kekal dengan sistem lama,” katanya. –UTUSAN