
PEMANDU MAZDA LANGGAR LARI RIDER FOOD PANDA SERAH DIRI
Pemandu sebuah SUV Mazda yang dipercayai terlibat dalam kes langgar lari ke atas seorang penghantar makanan di hadapan Balai Polis Tambun, dekat sini, pagi semalam, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan kemalangan itu berlaku kira-kira jam 9 pagi di Jalan Ampang – Tambun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu SUV berusia 48 tahun itu menukar haluan dari kanan ke kiri jalan, sebelum menghimpit dan melanggar sebuah motosikal yang ditunggang seorang penghantar makanan. Tindakan itu menyebabkan penghantar makanan berusia 34 tahun tersebut terjatuh.
“Pemandu kenderaan kemudian terus melarikan diri sejurus kemalangan berlaku. Bagaimanapun, dia telah hadir di IPD Ipoh pada hari yang sama untuk membuat laporan berkenaan kemalangan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.
Kemalangan tersebut telah menyebabkan penghantar makanan mengalami kecederaan ringan di bahagian lutut dan siku.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai yang boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM10,000 atau dipenjara sehingga setahun, jika sabit kesalahan kali pertama.
Mior Faridalathrash berkata, pesalah juga boleh dikenakan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM15,000 dan boleh juga dipenjara sehingga setahun dan hilang kelayakan lesen memandu, bagi sabitan seterusnya.
Polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan jalan raya, lebih-lebih lagi dengan kelonggaran untuk melakukan perjalanan.
Terdahulu, tular video di media sosial seorang pemandu MPV melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal yang ditunggang seorang penghantar makanan. – Astro Awani