Buletin

TOL PERCUMA, DISKAUN SEHINGGA 50 PERATUS DI LEBUH RAYA PLUS DAN LPT SEMPENA AIDILFITRI- PM

Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia yang pulang berhari raya selaras Fasa Peralihan ke Endemik sejak 1 April 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata secara keseluruhan, tol percuma dan diskaun itu melibatkan 30 lebuh raya di seluruh negara dengan jumlah diskaun dinikmati oleh pengguna sebanyak RM77.11 juta.

“Jumlah manfaat ini akan ditanggung bersama oleh Kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi. Pemberian tol percuma melibatkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menghubungkan jaringan lebuh raya utara – selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan lebuh raya pantai timur (LPT).

“Ia akan bermula pada jam 12 tengah malam pada 30 April 2022 (Sabtu) sehingga jam 11:59 malam pada 1 Mei 2022 (Ahad) kepada semua kelas kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan

Beliau menambah pemberian tol percuma di Lebuh Raya Utara – Selatan dan LPT juga akan diberikan untuk pulang semula ke kediaman masing-masing bermula jam 12 tengah malam pada 7 Mei 2022 (Sabtu) hingga jam 11:59 malam pada 8 Mei 2022 (Ahad) kepada semua kelas kenderaan.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu tawaran diskaun tol antara 30 peratus dan 50 peratus akan diberikan kepada lebuh raya-lebuh raya lain pada tarikh dan masa sama kepada semua kelas kenderaan.

Beliau berharap dengan pemberian tol percuma dan diskaun tol sempena perayaan Aidilfitri pada tahun ini akan memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri bersamasama orang tersayang.

“Keputusan Kerajaan ini juga mengambil kira impak pandemik kepada sumber pendapatan sebahagian besar Keluarga Malaysia sebelum ini dan bagi mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya terutamanya golongan berpendapatan rendah.

“Pada masa sama, saya berharap kita sebagai Keluarga Malaysia dapat bertoleransi dan sentiasa bersabar dengan kehadiran jutaan kenderaan di lebuh raya sepanjang musim perayaan yang bakal tiba ini,” katanya.

Google ads
Back to top button