
CHERY EMTA EV SASAR PASARAN KEI-CAR JEPUN, BERSAING DENGAN BYD RACCO
Model kereta elektrik kompak keluaran usaha sama Chery, Emta, bakal memasuki pasaran Jepun pada 2027 dengan reka bentuk yang menyasarkan segmen kereta kei, termasuk menampilkan varian berimej lasak seperti kenderaan off-road.
Imej paten terbaharu didedahkan memperlihatkan perubahan pada reka bentuk model berkenaan berbanding konsep asal yang pernah diperkenalkan sebelum ini.
Emta dijangka bersaing dengan model elektrik kompak lain, termasuk BYD Racco serta tawaran daripada Nissan dan Suzuki.
Dari segi penampilan, Emta mengekalkan bentuk badan berkotak dan tinggi yang menjadi ciri utama kereta kei.

Bagaimanapun, bahagian hadapan menerima beberapa perubahan, termasuk reka bentuk bampar baharu, gril atas dan bawah serta lampu kabus. Susunan lampu utama dan gril juga diperhalusi untuk memberikan penampilan lebih kemas.
Imej paten turut menunjukkan pendekatan lebih praktikal pada bahagian sisi, dengan penggunaan pemegang pintu konvensional dan pintu gelangsar di belakang.
Reka bentuk ini selari dengan keperluan kereta kei yang lazimnya mengutamakan penggunaan ruang dalaman dan kemudahan akses.
Di bahagian belakang, model itu dilengkapi jalur lampu yang menghubungkan elemen pencahayaan, selain panel hiasan di atas ruang nombor pendaftaran.
Antara perkara menarik didedahkan ialah varian softroader yang menggunakan kemasan plastik pelindung pada badan serta reka bentuk bampar hadapan berbeza bagi menyerlahkan imej lebih lasak.

Walaupun begitu, ciri tersebut berkemungkinan lebih tertumpu kepada penampilan berbanding kemampuan meredah laluan off-road sebenar.
Penggunaan tayar semua permukaan dan peningkatan sedikit ketinggian badan turut berpotensi ditawarkan. Namun, maklumat mengenai sistem rangkaian kuasa masih belum diumumkan. Sistem pacuan semua roda (AWD) juga berkemungkinan dipertimbangkan menerusi konfigurasi dua motor elektrik.
Emta dibangunkan oleh Electric Mobility Technologies (EMT), syarikat berpangkalan di Singapura yang ditubuhkan menerusi kerjasama Chery Automobile, Jiangsu Yueda Automobile Group, Autobacs Seven, Gotion dan Anest Iwata.
Dalam kerjasama itu, Chery bertanggungjawab menyediakan platform kenderaan, sistem rangkaian kuasa elektrik dan teknologi bantuan pemanduan.
Pengeluaran model baharu pula dirancang berlangsung di kilang Yueda di Yancheng, China, manakala Gotion akan membekalkan bateri dan Autobacs mengendalikan saluran jualan di Jepun.
Emta turut merancang memperkenalkan tiga model tambahan, merangkumi hatchback, SUV dan MPV. Syarikat itu juga menyasarkan pengeluaran kenderaan secara tempatan di Jepun selepas 2030, bergantung pada kejayaan komersial model-modelnya.









