Buletin

CHERY FAIL PATEN PIKAP KOMPAK BAHARU, BAKAL CABAR FORD MAVERICK DI PASARAN GLOBAL

Chery dilihat sedang merancang untuk memasuki segmen pikap kompak menerusi sebuah model baharu yang didedahkan menerusi dokumen paten.

Imej paten yang muncul dalam talian memberikan gambaran awal sebuah pikap berasaskan crossover, sekali gus menandakan hasrat pengeluar dari China itu untuk bersaing dalam kategori yang semakin mendapat perhatian di pasaran global.

Walaupun Chery masih belum mengumumkan model ini secara rasmi, fail paten yang didaftarkan di Afrika Selatan menunjukkan ia berpotensi dipasarkan di beberapa rantau termasuk China, Amerika Selatan, Afrika Selatan dan Asia Pasifik.

Selain versi pikap, platform sama turut dijangka melahirkan sebuah SUV di bawah keluarga Tiggo.

Dari segi rekaan, model ini tampil dengan konsep dwi-kabin empat pintu yang menggabungkan keselesaan sebuah SUV bersama kepraktisan sebuah pikap.

Bahagian hadapan menampilkan lampu nyalaan siang (DRL) penuh melintang dengan tulisan “Chery” yang besar di tengah, dipadankan bersama bampar lasak, pelindung bawah (skid plate) serta kemasan hitam yang memberi imej lebih agresif.

Di sisi, pikap ini menggunakan ruang kargo yang agak pendek, pemegang pintu belakang tersembunyi, garisan badan yang tinggi serta gerbang roda berbentuk petak. Kemasan pelindung badan dan panel sisi yang menonjol pula menambah elemen lasak.

Bahagian belakang dilengkapi lampu LED penuh melintang, pintu tailgate tegak, bampar bertekstur dan kemasan menyerupai pelindung bawah, menjadikan keseluruhan rekaannya lebih moden berbanding pikap tradisional.

Ruang kabin masih belum didedahkan, namun berdasarkan model-model Chery terkini, ia dijangka menawarkan skrin infotainmen bersaiz besar terapung bersama kluster instrumen digital.

 Antara ciri yang berkemungkinan ditawarkan termasuk sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas telefon tanpa wayar serta kemas kini perisian secara over-the-air (OTA).

Tidak seperti kebanyakan pikap kompak lain, model ini dijangka memberi penekanan kepada keselesaan dengan penggunaan material kabin lebih premium, tempat duduk hadapan yang mempunyai fungsi pemanas dan pengudaraan, bumbung panoramik serta pencahayaan ambien.

Ruang kargo pula direka lebih fleksibel berbanding mengutamakan kapasiti muatan maksimum, termasuk kemungkinan menawarkan tempat duduk belakang boleh dilipat dan ruang laluan untuk membawa barangan panjang.

Spesifikasi dijangka:

  • Platform monokok T1X (bukan casis ladder frame)
  • Suspensi belakang bebas untuk pengendalian lebih selesa
  • Enjin 1.6 liter turbo bagi varian asas
  • Enjin 2.0 liter turbo berkuasa 208hp (155kW) untuk varian lebih tinggi
  • Sistem hibrid plug-in (PHEV) Chery Super Hybrid (CSH)
  • Enjin 1.5 liter turbo dipadankan motor elektrik
  • Jarak pemanduan elektrik sehingga 90km
  • Pilihan pacuan roda hadapan (FWD) dan pacuan semua roda (AWD)
  • Fungsi Vehicle-to-Load (V2L)

Model ini dijangka diletakkan di bawah pikap bersaiz sederhana Chery Stockman dalam barisan produk syarikat.

Antara pesaing yang bakal dihadapinya ialah Fiat Toro, Chevrolet Montana, Ram Rampage serta beberapa model pikap monokok lain yang sedang dibangunkan untuk pasaran global.

Setakat ini, Chery masih belum mengesahkan tarikh pelancaran rasmi. Namun, dengan dokumen paten yang telah didedahkan, model tersebut dijangka membuat penampilan sulung dalam tempoh sekitar 12 bulan akan datang.

Jika direalisasikan, ia bakal menjadi satu lagi pilihan menarik dalam segmen pikap kompak yang semakin berkembang di peringkat antarabangsa.

Google ads
Back to top button