
CHERY PERLUAS RANGKAIAN R&D KE MALAYSIA, SASAR 26 PUSAT SELURUH DUNIA
Chery Group terus memperkukuh strategi pengembangan global dengan memberi tumpuan kepada pemasangan tempatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta teknologi elektrifikasi, termasuk menjadikan Malaysia antara negara penting dalam perancangannya.
Menerusi Chery International User Summit 2026 yang berlangsung baru-baru ini, Naib Presiden Eksekutif Chery Automobile, Zhang Guibing berkata, pendekatan syarikat itu bukan sekadar meningkatkan jualan, malah memastikan produk dan teknologi dibangunkan berdasarkan keperluan pengguna di setiap pasaran.
Malaysia turut disenaraikan sebagai antara lokasi bagi peluasan rangkaian R&D global Chery daripada 16 kepada 26 pusat, bersama United Kingdom, Sepanyol dan Jerman.

Langkah itu bertujuan meningkatkan pemahaman terhadap keperluan pasaran tempatan serta menyokong pembangunan produk dan teknologi yang lebih bersesuaian.
Dalam aspek pemasangan, Chery menyasarkan sumbangan kenderaan yang dipasang di pasaran luar negara meningkat daripada 41 peratus pada 2025 kepada 70 peratus menjelang 2027.
Strategi penyetempatan itu turut merangkumi pembangunan tenaga kerja, kerjasama dengan institusi pendidikan serta pengukuhan rantaian bekalan tempatan.
Sementara itu, Chery Group mencatatkan jualan 1.36 juta unit bagi separuh pertama 2026, sekali gus berada di kedudukan kesembilan pengeluar automotif terbesar dunia.
Jualan kenderaan tenaga baharu (NEV) kumpulan itu, termasuk model hibrid plug-in (PHEV) dan elektrik bateri (BEV), turut meningkat 145 peratus bagi tempoh Januari hingga September 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu.
Chery juga merancang memperkenalkan teknologi pengecasan Hyper Second Charging (HSC) dan Vehicle-to-Grid (V2G) mulai 2027, selain memperluaskan penggunaan teknologi robotik AiMOGA dalam sektor komersial, kesihatan dan pembuatan.
Bagi Malaysia, pengembangan operasi dan rangkaian R&D berkenaan membuka peluang kepada pengukuhan ekosistem automotif tempatan, khususnya dalam aspek kepakaran teknikal, teknologi dan pembangunan industri.









