Artikel Pilihan

BOT MEWAH LAMBORGHINI DARI TECHNOMAR – APASAL LAWA SANGAT NI

Pembuatan bot sebenarnya bukan perkara baharu bagi Lamborghini kerana mereka pernah membangunkan sepasang enjin marin pada sekitar tahun 80-an tapi mereka sendiri tidak pernah mengeluarkan bot. Ye lah itu dah kira cabang lain kot.

Tapi kali ini mereka mengorak langkah bergandingan dengan firma Tecnomar juga dari Itali untuk menghasilkan sebuah bot mewah berprestasi tinggi yang diilhamkan daripada Lamborghini Sian FKP37 yang diperkenalkan pada tahun 2019. Bot ini cukup laju, unik, menarik perhatian dan akan dihasilkan dalam jumlah yang terhad sekaligus melayakannya menggunakan lambang lembu laga Lamborghini yang terkenal.

Tecnomar merupakan syarikat pembuat bot yang dimiliki oleh The Italian Sea Group dan untuk projek ini mereka bekerja secara langsung dengan Lamborghini Centre Stilo untuk memastikan bot mewah ini disuntik dengan DNA supercar dari Santa Agata. Hasilnya ialah rekaan yang kemas lagi bersih lengkap dengan lampu LED berbentuk Y di hadapan dan bahagian kaca berbentuk heksagon di kedua belah sisi badan.

Berada di kerusi kapten memberikan perasaan yang sama sewaktu berada di dalam sebuah Lamborghini moden cuma kali ini ia lebih tinggi, berada di atas air dan mempunyai ruang yang lebih luas.

Stereng klasik lautan digantikan dengan stereng tiga jejari sama seperti jentera terkini Lamborghini dan mempunyai tanda pukul 12 ala perlumbaan yang memang tak pernah dibuat pada stereng bot lain.

Meter-meter digital memberikan maklumat berguna untuk pelayaran termasuklah sistem navigasi dan radar yang merupakan ciri standard sebuah bot mewah. Kawalan pendikit mempunyai sedikit persamaan dengan mode selector yang terdapat pada konsol tengah Lamborghini Urus.

Kedua-dua butang penghidup memang sama seperti digunakan pada supercar keluaran Lamborghini dan memang kami sangat sukakan butang penghidup ala suis pesawat pejuang ni. Kenapa ada dua butang penghidup? Semestinya ada dua kerana bot ini menggunakan sepasang enjin V12 buatan MAN dan kuasa setiap satu enjin ini mencecah 2,000 hp. Ya, keseluruhan kuasa maksima enjin bot ini mampu mencecah 4,000 hp. 4,000 hp tuan-tuan. Abang super yacht dulu mesti suka. Eh, kat mana dia sekarang?

Kalau dah nama Lamborghini memang gentian karbon merupakan mainan mereka. Bot sepanjang 63 kaki ini dianggarkan mempunyai berat sekitar 24 tan. Berat ke? Tak lah. Ini dah kira super ringan untuk sebuah bot mewah sepertinya.

Tecnomar menjangkakan bot ini akan disiapkan menjelang 2021. 63 unit bakal dihasilkan dengan harga sekitar USD3 juta sebelum dicampur dengan pilihan aksesori dan kemasan. Pembeli boleh memilih ciri-ciri kemasan mereka sendiri untuk keseluruhan bahagian bot. Biasalah dengan harga USD3 juta silap-silap tambah lagi USD2 juta untuk aksesori, ini memang bukan mainan budak-budak dan jutawan baru nak up.

Tags
Google ads
Back to top button