Buletin

BURUNG BUAT HAL. PESAWAT TURKISH AIRLINES ROSAK

Sebuah pesawat Boeing 777 milik syarikat Turkish Airlines didapati rosak selepas dilanggar sekumpulan burung di Istanbul, Turki.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku ketika pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk menuju ke Almaty, Kazakhstan.

Menurut laman web Aviation24.be, sejurus dilanggar, pesawat yang mengendalikan perkhidmatan kargo dengan kod penerbanagan TK6220 itu didapati berpatah balik ke lapangan terbang berkenaan.

Perlanggaran itu mengakibatkan kerosakan pada bahagian muncung pesawat dengan beberapa kesan tompokan darah.

Difahamkan, ketika kejadian berlaku, kapten pesawat menghubungi Menara Kawalan Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk bagi meminta kebenaran untuk melakukan pendaratan cemas.

Pesawat itu kemudian berlegar di udara selama beberapa minit sebelum mendarat dan dibawa ke dermaga untuk dibaiki.

Kejadian burung melanggar pesawat dilaporkan sering berlaku di kebanyakan lapangan terbang di seluruh dunia.

Minggu lalu, sebuah lagi pesawat Boeing 777 turut mengalami insiden sama ketika cuba mendarat di Lagos, Nigeria yang juga mengakibatkan kerosakan pada kapal terbang berkenaan. – agensi

Google ads
Back to top button