
LELAKI PANJAT SAYAP PESAWAT ALASKA AIRLINES. SUKA HATI JE, KAN DAH KENA TAHAN
Seorang lelaki ditahan selepas memanjat sayap pesawat Alaska Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa McCarran, Las Vegas, Amerika Syarikat (AS).
Alaska Airlines dalam satu kenyataan memaklumkan, ketika kejadian, penerbangan 1367 dari Las Vegas ke Portland bersedia untuk berlepas dari lapangan terbang apabila juruterbang mengesan seorang individu berjalan ke arah pesawat.
Juruterbang kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada menara kawalan.
Jurucakap lapangan terbang, Joe Rajchel berkata, Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas dan pegawai lapangan terbang menahan lelaki tersebut.

Menurut Rajchel, lelaki itu melompat pagar perimeter dan ditemukan oleh petugas lapangan terbang pada pukul 1.40 petang.
Video yang dirakam oleh penumpang menunjukkan lelaki tersebut duduk dan berjalan di sayap pesawat itu sebelum menanggalkan stokin dan kasutnya sebelum cuba memanjat bahagian hujung sayap pesawat berkenaan.
Ketika polis menghampiri lelaki itu, dia meluncur ke bawah sayap dan terjatuh ke atas landasan sebelum ditahan dan di bawa ke pusat perubatan.
Sementara itu, jadual penerbangan pesawat tersebut terpaksa ditunda bagi membolehkan pemeriksaan penuh dilakukan susulan insiden yang berlaku. – agensi