XIAOMI SU7 ROSAK SELEPAS HANYA DIPANDU 39KM – BAU KEDAI PUN TAK SEMPAT HILANG
Xiaomi SU7 terjual laris di China tetapi benda laku tak semestinya berbaloi untuk dimiliki kerana ramai pemilik mengalami masalah sejurus menerima EV baharu tersebut.
Baru-baru ini, pemilik SU7 biru terang dilaporkan terkandas selepas hanya 24 batu (39 km) dan memberitahu kereta itu perlu dihantar semula ke kilang untuk analisis bagi melihat sama ada ia boleh dibaiki.
Sedan elektrik itu, yang dimiliki oleh seorang lelaki dikenali sebagai En. Wen, dipandu di sepanjang lebuh raya pada 5 Mei, sehari selepas ia diambil dari pusat penghantaran Xiaomi di Wilayah Fujian.
Sudah pasti, pemilik berkenaan senang hati memandu kereta EV baharu namun segalanya berubah apabila ia gagal berfungsi dengan baik.
Menurut laporan, mesej pada kluster instrumen digital SU7 memberikan amaran bahawa kereta akan berhenti, memberitahu pemandu untuk berhenti dan menghubungi pusat servis.
Mesej kedua kemudian muncul, menyatakan sistem pemacu rosak dan kereta tidak boleh beralih antara pemanduan dan undur.
Terkandas di tepi jalan, Encik Wen terpaksa memanggil trak tunda untuk memulangkan kereta ke pusat penghantaran.
Menurut sumber dari China, pusat peniaga tidak dapat mendiagnosis masalah itu dan memaklumkan pemiliknya bahawa ia perlu dihantar semula ke kilang untuk mengetahui masalahnya.
Bagaimanapun, pemilik tidak mahu kereta itu dibaiki, sebaliknya dia telah meminta SU7 serba baharu.
Permintaan tersebut dikatakan mustahil kerana semua model sedang dipasang sudah mempunyai pemilik yang diperuntukkan, bermakna dia perlu membuat tempahan baharu.
Xiaomi dilaporkan bekerjasama dengan individu tersebut untuk memberi bayaran balik penuh dan membayar pampasan bagi sebarang perbelanjaan yang ditanggung.
Selain daripada masalah sistem pemacu rosak, Xiaomi baru-baru ini juga terpaksa mengakui bahawa sistem Brek Kecemasan Automatik (AEB) tidak lagi berfungsi melebihi 84 mph (135 km/j).