Buletin

INI KISAH KELVIN, REMAJA MISKIN LABUR RM800 BIKIN KERETA GUNA BESI BURUK

Usianya 18 tahun, Kelvin bukanlah berasal dari keluarga kaya. Dia menetap di kawasan luar bandar Accra, Ghana dan memiliki kenderaan di negara terbabit boleh dianggap sebagai sesuatu yang mewah.

Berikutan dia tidak mampu membeli sebuah kenderaan, Kelvin nekad membina kenderaan buatan sendiri.

Mungkin anda pernah mendengar kisah anak muda yang menetap di kawasan terpencil dengan membangunkan kenderaan mereka.

Biarpun, ia tidak sempurna tetapi usaha dan semangat ditunjukkan mereka membuatkan  video berkenaan menjadi viral di laman media sosial.

Begitu juga dengan Kelvin, kisahnya menjadi buah mulut sehingga vlogger, Drew Binsky mengembara sehingga ke Ghana untuk menemui lelaki itu.

Dia berjaya merungkai berkenaan projek kereta terbabit malah dapat menjadi penumpang hasil ciptaan unik tersebut.

Binsky turut melahirkan rasa kagum dengan pengendalian jentera Kelvin seolah-olah seperti kenderaan sebenar yang berada di atas jalan raya.

Menurut Kelvin, jumlah keseluruhan untuk membangunkan kenderaan dua tempat duduk itu menelan belanja kurang daripada AS$200 (RM800) dan mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk menyiapkannya.

Ia berikutan, dia bekerja selepas waktu sekolah dan membeli besi buruk dengan menggunakan duit berkenaan.

Boleh dikatakan hampir keseluruhan kenderaan dibangunkan dengan menggunakan tangan.

Kereta yang tidak memiliki tingkap berkenaan menggunakan enjin daripada motosikal.

Bahagian dalaman pula,  dilengkapi sistem radio dan tempat duduk juga agak selesa bagi kenderaan yang mengggunakan barang terpakai.

Kisah ini berkisar tentang keinginan seorang remaja yang inginkan sesuatu dan mampu melakukannya walaupun ia mengambil masa agak lama. – autoevolution

Google ads
Back to top button