Buletin

PESAWAT ALASKA AIRLINES ROSAK, LANGGAR BERUANG KETIKA MENDARAT

Sebuah pesawat Alaska Airlines mengalami kerosakan apabila terlanggar seekor beruang ketika mendarat di lapangan terbang Yakutat, tenggara Alaska. 

Pelanggaran itu menyebabkan beruang terbabit mati dan pesawat Boeing 737-300 rosak pada bahagian kowling enjin. 

Pegawai Maklumat Awam Jabatan Pengangkutan Alaska, Sam Dapcevich memberitahu kakitangan lapangan terbang telah memastikan landasan itu selamat 10 minit sebelum pesawat berkenaan mendarat. Namun, dua ekor beruang secara tiba-tiba dilihat melintas di landasan. 

Pesawat itu kemudian melanggar beruang malang tersebut pada kelajuan 110km/j ketika ia mula membrek.

Walaupun berjaya mengelak daripada pelanggaran di bahagian hadapan, tetapi juruterbang ada berasa impak pada kiri pesawat selepas beruang melalui bawah kapal terbang terbabit. 

Bangkai beruang tersebut ditemui 20 kaki dari landasan. Sementara seekor anak beruang dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Seramai enam orang penumpang juga selamat. 

Syarikat penerbangan itu memberitahu kerja-kerja membaik pulih pesawat akan memakan masa selama beberapa hari. 

Serangan binatang bukanlah sesuatu yang asing di Alaska. Tetapi serangan melibatkan beruang sebenarnya jarang berlaku. Sebelum ini, pesawat dilaporkan pernah  melanggar rusa, angsa dan binatang-binatang lain. 

Hanya sebahagian kawasan lapangan terbang Yakutat mempunyai pagar. Jadi, kakitangan perlu menghalau binatang yang berkeliaran di landasanmenggunakan kenderaan atau piroteknik (lampu suluh). 

Google ads
Back to top button