Buletin

UMUR BARU 7 TAHUN, BUDAK UGANDA INI SUDAH BOLEH TERBANGKAN PESAWAT CESSNA 172

Seorang budak lelaki dari Uganda menjadi sensasi di negaranya kerana memiliki pengetahuan dan kemahiran menerbangkan pesawat ringan.

Graham Shema yang pernah ditemu bual oleh stesen televisyen, akhbar tempatan dan media sosial kini dikenali sebagai ‘Kapten’. Dia juga dijemput untuk bertemu dengan duta Jerman dan Menteri Pengangkutan Uganda.  

Mempunyai minat dalam bidang matematik dan sains, murid sekolah rendah itu sudah menerbangkan pesawat ringan Cessna 172 sebanyak tiga kali sebagai pelatih.

Shema yang sangat mengagumi Elon Musk memberitahu dia ingin menjadi seorang juruterbang dan astronaut.  

Pada satu pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Entebbe, jurulatih memintanya untuk menerangkan bagaimana enjin pesawat Bombardier CRJ900 yang sedang diparkir berfungsi. Dan dia menjawab dengan penuh yakin.

Rasa ingin tahu Shema terhadap pesawat dan penerbangan timbul daripada satu insiden aneh. Ketika berusia tiga tahun, sebuah helikopter polis terbang rendah sehingga menerbangkan bumbung rumah neneknya di bandar Kampala.

Sejak itu, dia mula bertanya tentang bagaimana sebuah pesawat boleh terbang. Tahun lalu, ibunya, Shamim Mwanaisha, 29, menghubungi sebuah akademi penerbangan.

Shema kemudian mula belajar tentang komponen dan perkataan berkaitan penerbangan di rumah. Selepas lima bulan, Mwanaisha membayar yuran pembelajaran untuk anaknya.

“Saya rasa seperti burung yang terbang,” kata Shema ketika dalam penerbangan pertamanya. Dia sudah tiga kali menjadi co-pilot di antara Januari dan Mac lalu sebelum pandemik COVID-19 membantutkan latihannya. – Reuters

Google ads
Back to top button