CAS EV GUNA ‘PLUG POINT’ PARKIR AWAM, PENDUDUK NAIK ANGIN
Tindakan seorang pemilik kenderaan elektrik (EV) yang didakwa mengecas kenderaannya menggunakan soket elektrik di kawasan parkir perumahan tanpa kebenaran telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan penduduk setempat.
Perbuatan itu bukan sahaja melanggar peraturan pengurusan bangunan, malah dikhuatiri boleh mengancam keselamatan penghuni, termasuk risiko kebakaran dan renjatan elektrik.
Menurut satu notis yang dikeluarkan pihak pengurusan perumahan pada Khamis, penggunaan punca kuasa milik harta bersama bagi tujuan mengecas EV telah dikesan sejak kebelakangan ini.
Pihak pengurusan menegaskan bahawa sebarang penggunaan bekalan elektrik di kawasan awam tanpa kelulusan rasmi adalah dilarang sama sekali kerana ia boleh menyebabkan lebihan beban elektrik, litar pintas dan kebakaran.
Lebih membimbangkan, terdapat pemilik kenderaan yang menggunakan kabel sambungan terus dari unit kediaman ke ruang parkir, satu amalan yang disifatkan sebagai berbahaya serta tidak mematuhi piawaian keselamatan.
Sehubungan itu, penduduk diingatkan supaya tidak menggunakan soket tiga pin biasa untuk mengecas EV kerana ia tidak direka untuk menampung beban elektrik tinggi dan boleh mengundang pelbagai risiko.
Bagi penghuni flat atau kondominium yang memiliki kenderaan elektrik, mereka disarankan mendapatkan kelulusan daripada Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC), menggunakan khidmat kontraktor bertauliah serta memastikan kapasiti sistem elektrik mencukupi.
Penggunaan kabel sambungan juga perlu dielakkan, sebaliknya pemilik EV digalakkan menggunakan stesen pengecas awam atau kemudahan pengecasan yang dipasang secara rasmi dan selamat. – Mstar









