Pandu Uji

TRAK PIKAP BT-50 TAK PERLU WUJUD? TAK CUKUP FEEL MAZDA?

Bila kita menyebut jenama Mazda, kebanyakan pembaca mesti membayangkan MazdaSpeed 3 Turbo, SUV bergaya CX-5, kereta sport MX-5 Miata, dan lagenda RX-7 serta RX-8 yang menggunakan enjin rotary dan falsafah SkyActiv.

Jenama Mazda sangat sinonim dengan imej dinamik pemanduan, emosi dan reka bentuk. Sebab itulah apabila Mazda menghasilkan trak pikap, ia nampak sangat pelik. Tapi realitinya, Mazda bukan baru dalam dunia pikap.

Mazda BT-50 sendiri sudah wujud sejak 2006, dengan dua generasi awal berkongsi platform yng sama dengan Ford Ranger, sebelum Mazda buat keputusan besar pada generasi ketiga 2020 untuk beralih ke platform Isuzu D-Max, dan kerjasama ini diteruskan hingga generasi terkini termasuk model facelift global pada bulan Oktober 2025.

Sebenarnya, sejarah pikap Mazda jauh lebih panjang. Ia bermula dengan model trak pikap Mazda B-Series seawal tahun 1961, yang turut dihasilkan sebagai Ford Courier sebagai model rebadge, dan pelbagai generasi B-Series dari 1965 hingga 2006.

Mazda ditawarkan pelbagai kapasiti enjin dalam pelbagai varian yang turut dikenali dengan B1500, B1600, B1800, B2000, B2200 hingga B2500 mengikut saiz enjin sepanjang sejarah pengeluarannya. Mazda juga pernah menjual pikap berenjin rotary di pasaran US antara 1974 hingga 1977.

Media seperti Road & Track memuji kelancarannya, dan model generasi kedua ini menjadi lagenda apabila pikap rotary ini masuk perlumbaan rali SCCA24 jam Mojave 1976 dan berjaya dapat tempat ketiga.

Namun akhirnya B-Series dihentikan sekitar 2006 kerana tekanan regulasi pencemaran asap, piawaian keselamatan, margin keuntungan yang kecil, serta saiz pasaran Mazda sendiri yang tidak sebesar gergasi lain. Hubungan rapat dengan Ford ketika itu juga menyebabkan Mazda banyak bergantung pada casis Ford bermula dengan BT-50 generasi pertama

Model yang dipandu uji kali ini adalah Mazda BT-50 facelift terbaru yang dilancarkan di peringkat global pada tahun 2025. Antara perubahan paling ketara bermula di bahagian depan. Jeriji depan kini direka semula dengan pendekatan lebih moden, kemasan krom dibuang, diganti dengan rekaan blackout yang lebih macho.

Lampu utama pula diinspirasikan daripada bahasa reka bentuk Mazda CX-5 terbaru, lengkap dengan rekaan lampu kabus yang lebih kemas. Mazda turut menambah housing wheel arch hitam, rim rekaan baharu, serta saiz badan yang jelas besar sebagai sebuah trak dengan lebar sekitar 1571 mm, tinggi 1530 mm.

Mazda BT-50 mempu membawa beban sehingga 768 kg di bahagian belakang. Ciri seperti shutter grille yang berkunci dkini ditawarkan sebagai ciri standard, satu langkah positif dari sudut keselamatan tanpa caj tambahan oleh Mazda.

Dari segi asas mekanikal, BT-50 masih sebuah trak tulen dan dibina atas platform ladder frame dari Isuzu, dengan sudut mendaki 30.4 darjah di depan dan sudut pelepasan 24 darjah di belakang, jarak kelegaan permukaan jalan 240 mm serta keupayaan redah air sehingga 800 mm. Suspensi pula menggunakan double wishbone di roda depan dan leaf spring di roda belakang.

Untuk enjin, Mazda membuat keputusan berani dengan menggugurkan enjin 1.9 liter, dan kini hanya menawarkan satu pilihan iaitu 3.0-liter turbodiesel Isuzu 4JJ3-TCX. Enjin ini menghasilkan sekitar 188 hp dan 450 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan.

Dengan tawaran harga sekitar RM140,418.40, ini meletakkan BT-50 dalam zon harga yang kompetitif. Ia mungkin bukan enjin paling senyap atau paling berkuasa, tapi dari sudut ketahanan dan reputasi, 4JJ3 memang terkenal lasak.

Masuk ke kabin BT-50, Mazda cuba untuk membezakan BT-50 daripada D-Max. Sistem infotainment kini menggunakan skrin 9 inci lengkap dengan rotary knob dan sambungan Apple Car Play & Android Auto, kluster meter dibesarkan dari 4.2 inci ke 7 inci, sistem audio 8 pembesar suara, kawalan suhu dual-zone, serta kamera dan skrin pandangan belakang.

Mazda BT-50 menawarka ciri perehat tangan, corong pendingin hawa, ruang kaki yang memadai, beberapa ruang simpanan, dan tempat duduk yang boleh dilipat 60:40, walaupun sudut sandaran masih sedikit tegak dan menjadi ciri tipikal sebuah trak pikap.

Dengan pacuan roda belakang sebagai pilihan utama, pengalaman pemanduan BT-50 memang terasa seperti sebuah trak, bukan Mazda 3. Itu hakikat yang anda kena terima. Enjin ini menjana tork sehingga 450 Nm yang datang seawal 1,600 hingga 2,600 rpm, dan susunan gear rasa seperti ditala untuk kelancaran dan ketahanan, bukan pecutan agresif.

Di lebuh raya, BT-50 terasa stabil dan selesa untuk jarak jauh dengan bacaan RPM 2,000 rpm pada halaju 140km/jam. Disebabkan susunan gear “berada jauh di belakang” penggunaan bahan api adalah sekitar 12 km/l, dan berpotensi naik ke 13.5 km/l jika memandu sekitar 110 km/j.

Anda kena ingat yang ini adalah enjin 3000cc. Operasi transmisi 6-kelajuan dengan fungsi shiftronic berfungsi baik, walaupun responnya agak perlahan. Tetapan dan rasa stereng, brek dan rasa keseluruhan memang terasa seperti memandu trak pikap dengan kehadiran sedikit getaran, rasa berat, dan itu disengajakan.

Mungkin ini kekurangan yang perlu diterima oleh bakal pembeli BT-50 apabila Mazda menggunakan cesi ladder fram dan enjin daripada Isuzu yang terkenal dengan aspek lasak dan boleh diharap. Casis Ford mungkin sedap dipandu, tapi ia juga terkenal dengan isu jangka panjang yang boleh buat pemilik pening kepala.

Pendek kata pemanduan Mazdatidak menawarkan kualiti dan kehalusan Mazda. Untuk off-road, sistem pacuan boleh dipilih samaada 2H, 4H, 4L dengan menggunakan suis tuil fizikal. Jika keadaan menjadi terlalu ekstrim BT-50 sedia berdepan dengan ciri differential lock, serta butang rough terrain mode menggunakan kawalan elektronik untuk mengawal gelincirian tayar yang berpusing, memperhalusi kawalan throttle dan membantu cengkaman di laluan berselut.

Dari segi keselamatan, Mazda BT-50 dilengkapi dengan pakej lengkap merangkumi ciri keselamatan aktif seperti brek kecemasan automatik, lampu depan automatik, blind spot monitoring, RCTA, Lane Deprature Warning, adaptive cruise control dan driver attention alert.

Namun untuk ruang penambahbaikan pada masa depan, penulis merasakan sistem AEB agak sensitif dan perlu diperhalusi, dan getaran enjin diesel masih terasa, terutama ketika melahu.

Berbalik semula kepada persoalan utama kenapa Mazda perlu bersusah payah untuk menghasilkan trak pikap walaupun perlu bekerja sama dengan Isuzu?

Jawapannya ialah strategi perniagaan masakini yang menjadikan BT-50 terus relevan. Pasaran seperti Australia, Thailand, Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah sangat penting buat Mazda BT-50. Jika Mazda menghentikan pengeluaran trak pikap, Mazda bukan sekadar hilang produk.

Mazda juga akan terputus warisan trak pikap B Series, kredibiliti Mazda akan merosot, dan memberi kesan besar pada rangkaian pengedar di pasaran. Rebadge Isuzu bukan tanda kalah, tapi langkah bijak untuk terus bersaing.

Google ads
Back to top button