
PERANG EV CHINA MAKAN TUAN, JENAMA KECIL MENUNGGU MASA REBAH
Industri kenderaan elektrik (EV) China yang sedang berkembang pesat kini berdepan fasa penentuan. Walaupun jenama EV dari China semakin agresif menembusi pasaran global, dengan eksport melonjak hampir dua kali ganda pada hujung tahun lalu, realitinya tidak semua pemain mampu bertahan lama.
Menjelang 2026, sektor ini dijangka melalui proses “penapisan semula” yang besar, apabila puluhan pengeluar EV kecil dan sederhana berisiko tersingkir.
Penghantaran kenderaan baharu dalam pasaran domestik China diramal menyusut sehingga 5 peratus tahun depan, penurunan paling ketara sejak 2020. Antara puncanya ialah pengurangan sokongan kerajaan serta masalah lebihan kapasiti yang sudah lama membelenggu industri automotif negara itu.
Laporan media antarabangsa berpangkalan di Hong Kong menyebut sekitar 50 pengeluar EV yang masih mencatat kerugian mungkin terpaksa mengecilkan operasi atau menutup perniagaan sepenuhnya pada 2026.

Tekanan ini bukan sahaja datang daripada kos tinggi, tetapi juga perubahan selera pengguna, khususnya golongan muda yang semakin cerewet terhadap reka bentuk, teknologi dan pengalaman pemanduan.
Seorang pemain industri komponen automotif berpandangan masa semakin suntuk bagi jenama yang gagal tampil dengan produk benar-benar menarik.
Prestasi tahun hadapan dianggap penentu hidup mati kebanyakan pengeluar EV yang masih belum mencatat keuntungan.
Keputusan dasar kerajaan juga menjadi faktor kritikal. Beijing dijangka memutuskan sama ada insentif tukar beli EV akan diteruskan, manakala pengecualian cukai pembelian sebanyak 10 peratus akan tamat hujung tahun ini sebelum kadar 5 peratus diperkenalkan mulai Januari, dan cukai penuh kembali pada 2028.
Perang harga yang berlarutan sememangnya membantu menjadikan EV lebih mampu milik, namun ia pada masa sama menekan margin keuntungan pengeluar. Digabungkan dengan perbelanjaan besar untuk penyelidikan dan pembangunan serta perlumbaan melancarkan pelbagai model baharu, hanya segelintir syarikat mampu kekal sihat dari segi kewangan.

Menurut pelabur awal dalam sektor ini, era mudah mengumpul dana sudah berakhir. Industri kini memasuki fasa survival, di mana hanya pengeluar yang mencatat keuntungan berpeluang muncul sebagai pemenang, manakala pemain lain berdepan risiko kehabisan modal.
Setakat ini, hanya beberapa nama besar seperti BYD, Seres dan Li Auto berjaya menongkah arus. Syarikat-syarikat ini dijangka lebih agresif meneroka pasaran luar negara bagi mencari pertumbuhan baharu.
Kajian firma perunding antarabangsa pula menganggarkan hanya sekitar 10 peratus jenama EV China akan benar-benar menguntungkan dalam jangka panjang.
Antara kisah yang lebih positif ialah Leapmotor, yang menerima pelaburan besar daripada kumpulan milik kerajaan, FAW. Pegangan minoriti bernilai berbilion yuan itu memberi nafas baharu kepada syarikat berkenaan untuk mempercepatkan pengembangan.
Leapmotor menyasarkan penghantaran sejuta kenderaan pada 2026, sekali gus berpotensi muncul sebagai antara tiga pengeluar EV terbesar China, di belakang BYD dan Geely.
Ketua eksekutif Leapmotor turut mendedahkan sasaran jangka panjang yang lebih berani, dengan hasrat mencapai jualan tahunan jutaan unit dalam tempoh sedekad akan datang, sambil memperhalusi kecekapan pengeluaran dan meningkatkan pengalaman pemanduan pelanggan.









