Buletin

RISIKO ENJIN MATI: CHERY PANGGIL BALIK 1,108 UNIT JAECOO J7 DAN TIGGO 7

Chery Automobile mengumumkan penarikan balik terhad melibatkan dua model SUV kompak keluarannya di China susulan kebimbangan terhadap potensi masalah keselamatan yang boleh menyebabkan enjin terhenti ketika kenderaan sedang dipandu.

Menurut laporan industri automotif tempatan China, pelan panggilan semula tersebut telah difailkan kepada Pentadbiran Negeri bagi Peraturan Pasaran (SAMR) pada 23 Januari 2026, melibatkan sejumlah 1,108 unit kenderaan yang dihasilkan antara 1 April hingga 8 Disember 2025.

Model terlibat ialah Chery Tansuo 06, yang dipasarkan di pasaran antarabangsa sebagai Jaecoo J7, serta Tiggo 7 1.6T, termasuk varian Tiggo 7 Sport dan Tiggo 7 Plus.

Chery memaklumkan bahawa sebahagian kenderaan terlibat mungkin dipasang dengan klip pengikat pendawaian unit kawalan elektronik enjin (ECU) yang tidak dipasang dengan sempurna ketika proses pengeluaran.

Keadaan ini boleh menyebabkan geseran pada kabel pendawaian dalam jangka masa panjang, sekali gus berpotensi mengakibatkan kegagalan sistem dan enjin terhenti secara tiba-tiba.

Sebagai langkah pencegahan, Chery akan menjalankan pemeriksaan percuma ke atas sistem pendawaian ECU bagi semua kenderaan terlibat.

Sekiranya didapati terdapat pemasangan tidak sempurna atau kerosakan pada komponen berkaitan, pembaikan atau penggantian akan dilakukan tanpa sebarang kos kepada pemilik.

Syarikat itu turut memaklumkan pemilik kenderaan akan dihubungi melalui pengedar sah, sama ada melalui surat berdaftar, panggilan telefon atau pesanan ringkas.

Untuk rekod, Jaecoo J7 dan Tiggo 7 1.6T menggunakan enjin petrol turbo 1.6 liter dengan kuasa sekitar 145kW dan tork 290Nm, dipadankan dengan transmisi klac berkembar basah tujuh kelajuan.

Kedua-dua model ini merupakan antara tunjang utama strategi Chery dalam segmen SUV kompak di pasaran China.

Penarikan balik tersebut berkuat kuasa serta-merta bermula 23 Januari 2026.

Google ads
Back to top button