Buletin

UNIT TERAKHIR GT-R R35 SIAP DIBINA, MODEL BAHARU LAMBAT LAGI…

Akhirnya saat yang tidak dapat dielakkan tiba. Nissan GT-R R35 secara rasmi menghentikan pengeluaran selepas hampir dua dekad di pasaran.

Sejak mula dikeluarkan pada tahun 2007 di kilang Tochigi, lebih 48,000 unit telah dibina. Unit terakhir yang keluar dari barisan pemasangan ialah GT-R Premium Edition T-Spec berwarna Midnight Purple.

Namun, ini bukan selamat tinggal untuk selama-lamanya. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Ivan Espinosa, menegaskan bahawa legasi “Godzilla” akan diteruskan:

“Kepada semua peminat GT-R di seluruh dunia, ini bukan ucapan selamat tinggal buat selama-lamanya. GT-R akan kembali pada masa hadapan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pengganti R35, iaitu R36, tidak akan muncul dalam masa terdekat:

“Buat masa ini, kami masih belum memuktamadkan rancangan. Apa yang boleh saya minta hanyalah kesabaran.”

Kenyataan Espinosa menguatkan lagi pandangan beberapa eksekutif Nissan lain. Awal tahun ini, Ketua Perancang Produk Nissan USA, Ponz Pandikuthira, dengan yakin menyatakan bahawa GT-R pasti akan kembali.

Begitu juga dengan Naib Presiden Strategi Pemasaran Produk, Arnaud Charpentier, yang mengesahkan bahawa pasukan pembangunan sedang bekerja untuk menghasilkan pengganti R35.

Arah tuju masa depan GT-R juga pernah ditunjukkan melalui konsep Hyper Force, yang dipertontonkan di Japan Mobility Show 2023.

Model konsep berkuasa futuristik itu hadir dengan 1,341hp, bateri keadaan pepejal (solid-state), serta kelajuan maksimum 200 mph (321 km/j).

Persoalannya kini – adakah GT-R generasi seterusnya akan beralih sepenuhnya kepada elektrik, atau mengekalkan enjin pembakaran dalaman untuk satu generasi terakhir?

Buat masa ini, fokus utama Nissan ialah usaha pemulihan kewangan melalui pelan “Re:Nissan”. Syarikat itu merancang untuk menutup tujuh kilang, mengurangkan kira-kira 20,000 pekerja, menyederhanakan komponen sehingga 70 peratus, dan mengecilkan jumlah platform daripada 13 kepada tujuh.

Dalam keadaan ini, membangunkan sebuah supercar khusus seperti GT-R mungkin bukan keutamaan segera, tetapi pengurusan tertinggi menegaskan bahawa R36 tetap sebahagian daripada agenda jangka panjang Nissan.

Google ads
Back to top button