
CHINA MAHU HAPUSKAN PEMEGANG PINTU ‘FLUSH’ ELEKTRIK
China kini sedang meneliti satu cadangan peraturan baharu yang berpotensi mengubah cara pengeluar kenderaan mereka bentuk sesuatu yang kelihatan ringkas tetapi amat penting, pemegang pintu.
Draf piawaian keselamatan yang diumumkan oleh Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat (MIIT) telah dibuka untuk maklum balas awam, dan sekiranya dilaksanakan, ia boleh membawa kepada penamatan penggunaan pemegang pintu jenis “flush” atau timbul secara automatik yang sering dikaitkan dengan kereta elektrik moden.
Cadangan bertajuk Keperluan Teknikal Keselamatan Pemegang Pintu Kenderaan itu menerima pandangan orang ramai sehingga 22 November 2025 sebelum dimuktamadkan sebagai piawaian nasional.
Antara syarat utama yang digariskan termasuklah:
- Setiap pintu (kecuali but) perlu dilengkapi pemegang luaran dengan fungsi mekanikal.
- Dalam kejadian kebakaran bateri atau insiden lain tanpa pelanggaran, pintu sisi yang tidak terjejas mesti boleh dibuka dari luar tanpa memerlukan sebarang alatan.
- Ruang untuk mengoperasikan pemegang mesti mencukupi, sekurang-kurangnya 60 x 20 x 25mm, tanpa mengira kedudukan pemegang.
- Semua pintu perlu ada pemegang dalaman dengan pelepasan mekanikal yang berfungsi tanpa bantuan alatan.
- Jika digunakan pemegang dalaman elektrik, pemegang sandaran mekanikal juga wajib disediakan.
- Pemegang dalaman mesti mudah dikenal pasti, jelas kelihatan, serta terletak dalam jarak 300mm dari hujung pintu dan pada zon tertentu mengikut kedudukan tempat duduk.
Menurut Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Penyeragaman Automotif China, Rong Hui, cadangan ini dibuat selepas penelitian terhadap lebih 230 jenis kenderaan, ujian kemalangan melibatkan 20 model, serta perbincangan bersama lebih 100 pakar dalam dan luar negara.
Matlamat utamanya ialah memastikan pemegang pintu kekal berfungsi ketika kehilangan kuasa serta menetapkan standard penempatan yang lebih seragam untuk semua model.

Peraturan ini hadir selepas kritikan global terhadap pemegang pintu jenis timbul yang dikatakan berisiko ketika kecemasan.
Di Amerika Syarikat, pihak berkuasa NHTSA kini menyiasat keselamatan rekaan tersebut susulan beberapa insiden maut.
Tesla, antara pelopor pemegang pintu “flush”, turut dilaporkan sedang menilai semula pendekatan mereka selepas beberapa kes penumpang, termasuk kanak-kanak, terperangkap ketika kenderaan kehilangan kuasa.
Rekaan baharu yang sedang diuji dikatakan menggabungkan sistem elektronik dan mekanikal untuk memudahkan operasi ketika kecemasan.
Pengeluar lain juga tidak terkecuali. Ada insiden di mana penumpang gagal keluar daripada kenderaan selepas berlaku kemalangan, menyebabkan nyawa melayang kerana pintu tidak dapat dibuka.
Malah, pasukan penyelamat turut berdepan kesukaran untuk mengakses kabin tanpa peralatan khas.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen, Thomas Schäfer, secara terbuka mengkritik pemegang pintu “flush” dengan menyifatkannya sebagai “sukar digunakan”.
Beliau mengesahkan model akan datang keluaran jenama itu akan kembali kepada rekaan tradisional, sejajar dengan maklum balas pelanggan.
Jika cadangan MIIT ini diluluskan, pengeluar kereta bukan sahaja di China malah di pasaran global dijangka perlu menyesuaikan rekaan mereka bagi memenuhi piawaian baharu ini.