
KERETA BARU KELUAR KEDAI REMPUH MASERATI, PEMILIK TERPAKSA BAYAR HAMPIR RM60K KOS BAIK PULIH
Seorang lelaki di Taizhou, wilayah Zhejiang, China, berdepan nasib malang hanya beberapa minit selepas membeli kereta terpakai.
Menurut laporan media tempatan, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Ma, baru sahaja membawa pulang kereta dibeli dengan pinjaman berjumlah kira-kira 115,000 yuan (sekitar RM74,000) pada 4 Ogos lalu. Dia turut mengambil insurans bernilai hampir 3,995 yuan (lebih kurang RM2,500).
Namun, belum sempat menikmati kenderaan baharunya, Ma terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Maserati SUV bernilai lebih 1.1 juta yuan (anggaran RM710,000). Kereta Maserati itu mengalami kerosakan di bahagian belakang, manakala kereta Ma pula remuk teruk di bahagian hadapan.
Kos baik pulih dianggarkan mencecah 60,000 yuan (sekitar RM39,000) untuk Maserati dan 40,000 yuan (sekitar RM26,000) bagi keretanya sendiri, keseluruhan hampir RM65,000.
Lebih malang, tuntutan insurans yang dibuat ditolak syarikat kerana insiden berlaku pada pukul 6.53 petang, iaitu tujuh minit sebelum polisi insuransnya mula berkuat kuasa jam 7 malam.
Ma mendakwa beliau sudah beberapa kali mendapatkan kepastian daripada jurujual bahawa perlindungan insurans berkuat kuasa serta-merta, namun diberitahu selepas kejadian bahawa ia hanya bermula sejam kemudian.
Hal ini membuatkan dia terpaksa menanggung sepenuhnya kos baik pulih dua kenderaan terbabit.
Pengurus pusat jualan kereta terpakai itu menegaskan bahawa secara teknikal kereta tersebut boleh dipandu, tetapi Ma sepatutnya menyemak lebih teliti syarat polisi insurans sebelum mengambil risiko di jalan raya.
Syarikat insurans pula mengakui berlaku kelemahan komunikasi dan sedang mempertimbangkan untuk memberikan sedikit bantuan memandangkan keadaan kewangan Ma.
Buat masa ini, kes tersebut masih dalam rundingan dan turut dipantau oleh pusat perlindungan hak pengguna di wilayah berkenaan.
Berita itu mendapat perhatian warganet dengan pelbagai komen, ada yang menyalahkan Ma kerana cuai, ada juga mengkritik jurujual dan syarikat insurans kerana tidak memberikan panduan jelas.
Tidak kurang yang menyindir bahawa satu-satunya “mangsa sebenar” dalam kejadian itu hanyalah pemilik Maserati.







