
TESLA PERKENAL MODEL Y L ENAM TEMPAT DUDUK DI CHINA – HARGA BERMULA SEKITAR RM220,000
Tesla secara rasmi memperkenalkan Model Y L di pasaran China dengan harga permulaan RMB339,000 (sekitar RM220,000) dan penghantaran dijangka bermula September ini.
SUV elektrik sepenuhnya ini hadir dengan konfigurasi enam tempat duduk, rekaan luaran yang diperhalusi serta kemasan dalaman lebih moden.
Model Y L menampilkan beberapa perubahan berbanding Model Y standard, antaranya garis bumbung baharu serta rekaan spoiler belakang yang lebih aerodinamik, menghasilkan pekali seretan hanya 0.216.

Dari segi saiz, kenderaan ini berukuran 4,976mm panjang, 1,920mm lebar, 1,668mm tinggi dengan jarak roda 3,040mm.
Bahagian dalaman kini dilengkapi skrin sesentuh tengah 16-inci, pengecas tanpa wayar yang menyokong pengecasan pantas sehingga 50W + 30W serentak, serta sistem audio baharu dengan tambahan pembesar suara pada konsol tengah dan bumbung.
Selain itu, setiap tempat duduk di barisan kedua dan ketiga turut disediakan port pengecasan.

Ciri keselamatan dipertingkatkan dengan beg udara tiga baris yang meliputi kawasan sepanjang 3.9 meter, melindungi lebih 95 peratus ruang longitudinal kenderaan.
Ruang simpanan maksimum mencecah 2,539 liter, mampu menampung pelbagai saiz bagasi. Dengan kerusi barisan ketiga dilipat, ia boleh memuatkan sehingga empat bagasi 28-inci serta dua bagasi 20-inci.

Dari segi prestasi, Model Y L digerakkan sistem pacuan semua roda dwi-motor dengan kuasa 142kW (190 hp) di hadapan dan 198kW (266 hp) di belakang. SUV ini mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat.
Ia menggunakan bateri ternari litium 82kWh yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 751km mengikut piawaian CLTC dengan kadar penggunaan tenaga 12.8kWh/100 km.








