DACIA JOGGER MPV MAMPU MILIK, ENJIN 1.0L TURBO 3 SILINDER!
Kenderaan pelbagai guna (MPV) dibangunkan untuk pelbagai segmen. Dari harga mampu milik hingga tujuh angka.
MPV mampu milik atau harga rakyat bukan sahaja untuk negara membangun tetapi turut dijual di pasaran Eropah.
Sebuah MPV yang baru diperkenalkan di sana ialah Dacia Jogger dengan membawa konsep praktikaliti sebuah wagon, keluasan MPV dan gayaan SUV.
Enjin 1.0 liter tiga silinder turbo!
Satu yang menarik apabila Jogger digerakkan enjin TCe 110 1.0 liter tiga silinder turbo!
Walaupun kecil, enjin itu berkuasa 110hp dengan tork maksimum 200Nm pada 2,900 pm. Kuasa enjin memang rendah namun ditimbal balas dengan daya kilas.
Bagaimana pula dengan prestasi pecutan? Kelajuan maksimum Dacia Jogger adalah 183 km/j dan pecutan dari 0 hingga 100 km/j memerlukan 11.2 saat.
Dari segi teknologi, selain pancitan terus enjin TCe 110 menggunakan injap pemasaan boleh ubah, pam bahan api sesaran boleh ubah, manifold ekzos yang disatukan dan penapis zarah (particulate filter).
Dacia memaklumkan penggunaan bahan api adalah 20.02 km/l hingga 21.09 km/l berdasarkan standard kombinasi WLTP.
Enjin dengan pematuhan piawaian Euro 6D itu dipadan bersama transmisi enam kelajuan manual.
Dalam dunia elektrifrikasi sekarang, Jogger dengan nadi hibrid elektrik akan ditawarkan pada tahun 2023 dan yang pertama untuk model Dacia.
Ada tujuh tempat duduk
Sebagai sebuah MPV, adalah satu kemestian untuk mampu membawa ramai penumpang.
Jogger mempunyai tujuh tempat duduk dengan kerusi baris ketiga mudah untuk diakses melalui pintu belakang yang dibuat panjang.
Dari segi saiz, ruang kepala belakang berukuran 855 mm dan 127 mm untuk bahagian lutut.
Untuk membawa barang, saiz yang disediakan ialah 212 liter dan meningkat kepada 699 liter apabila kerusi baris ketiga dilipat.
Jika mahu lebih ruang, tanggalkan kerusi baris ketiga dan lipat kerusi baris kedua untuk mendapatkan saiz maksimum 2,085 liter.
Ukuran panjang lantai pula adalah 2,000 mm dan boleh memuatkan basikal dan sebagainya.
Dacia paling panjang, rel 80 kg
Jogger menggunakan platform CMF-B dan walaupun berkongsi, modul bahagian belakangnya unik dengan panjang keseluruhan Jogger adalah 4.547 meter.
Ukuran tersebut menjadikan Jogger sebagai model Dacia paling panjang setakat ini.
Bukan setakat untuk membawa penumpang, Dacia merekabentuk Jogger untuk aktiviti luar dan lasak.
Rel bumbung Jogger boleh diletakkan pelbagai barangan dari basikal hingga peralatan ski dengan kapasiti beban sehingga 80 kg.
Untuk mengharungi pelbagai bentuk permukaan, jarak kelegaan bumi adalah 200 mm dan turut dipasang kit pelindung badan.
Selain itu, lampu belakang direka menegak bagi memaksimumkan ruang untuk kemasukan barang dan alang yang rendah menjadikan proses tersebut lebih mudah.
MPV harga rakyat, kelengkapan bagus
Sebagai sebuah MPV harga mampu milik, Dacia mempunyai kelengkapan standard keselamatan yang bagus.
Di antaranya ialah enam beg udara dan teknologi keselamatan seperti Sistem Pembrekan Kecemasan Automatik (AEBS), Amaran Titik Buta dan Panggilan Kecemasan (E-Call).
Lagi ciri standard ialah ABS dengan EBA, ESP, ESC, Bantuan Mula Mendaki (HAS) dan Bantuan Parkir.
Varian dan harga
Di United Kingdom ada tiga varian iaitu Jogger Essential, Jogger Comfort dan Extreme SE.
Ketiga-tiga varian menggunakan enjin dan transmisi sama dan dibezakan dengan pelbagai aksesori dan teknologi.
Harga model asas iaitu Jogger Essential bermula daripada £14,995 (RM85,560), Jogger Comfort £16,595 (RM94,689) dan £17,395 (RM99,254) untuk varian premium Extreme SE.
BACA: DATSUN GO DAN G0+ REMIX LIMITED EDITION – RANGGI TAK?