Buletin

GEELY DAN RENAULT SAH JALIN KERJASAMA! APA MAKNANYA?

Renault Group dan Geely Holding Group (Geely Group) pada 21 Januari mengumumkan kedua-dua syarikat telah menandatangani satu perjanjian kerjasama bagi membawa Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV) dan model Enjin Pembakaran Dalaman (ICE) ke pasaran Korea Selatan dan jualan eksport.

Ini adalah satu lagi perjanjian atau kerjasama bersilang yang biasa diamalkan di dalam dunia automotif.

Menariknya, Renault-Samsung Motors (RSM) itu sendiri adalah satu kerjasama di antara dua entiti berbeza apabila Renault membeli saham di dalam Samsung Motors pada tahun 2000.

Kenderaan baharu dari Renault dan Geely akan dikeluarkan di kilang RSM di Busan, Korea Selatan dan dijangka bermula pada tahun 2024.

Kerjasama ini adalah satu lagi langkah ke hadapan oleh dua kumpulan automotif dalam menghasilkan model emisi rendah selain meningkatkan penetrasi mereka ke pasaran HEV di Asia.

Berikut adalah perancangan kerjasama Renault dan Geely:

  • Produk baharu yang dirancang akan menggunakan platform CMA (compact modular architecture) Kumpulan Geely. 
  • Kerjasama ini juga akan memanfaatkan teknologi rangkaian kuasa canggih yang dimiliki Kumpulan Geely.
  • Renault dan RSM akan menyumbang kepakaran mereka di dalam reka bentuk dan pengalaman pelanggan di samping menyediakan teknologi canggih bagi memenuhi dan menjangkaui jangkaan pasaran tempatan.
  • Kenderaan yang ditawarkan akan menawarkan pelanggan di Korea Selatan dengan ciri-ciri premium, teknologi yang menerajui industri dan memperkukuhkan reputasi RSM di dalam pasaran sebagai penyedia perkhidmatan automotif berkualiti tinggi.

Platform CMA

Platform CMA dibangunkan oleh China Euro Vehicle Technology (CEVT) di Gothenburg, Sweden. Seperti namanya, CEVT adalah jalinan kerjasama di antara Eropah dan China untuk digunakan di peringkat global.

CMA dibangunkan dengan fleksibel supaya dapat digunakan untuk ICE dan elektrifikasi seperti hibrid sederhana, plug-in hybrid dan elektrik sepenuhnya.

Platform ini telah digunakan oleh ahli kumpulan Geely seperti Geely Auto, Volvo, Lynk & Co dan Polestar bagi menghasilkan model dengan karakter tersendiri.

Di antara model yang menggunakan platform CMA ialah SUV Geely Tugella, Volvo XC40, Lynk & Co 01 dan Polestar 2.

Sehingga kini lebih daripada 1.3 juta kenderaan berasaskan platform CMA berjaya dijual.

BACA: PROTON X50, SAMA TAPI TAK SERUPA GEELY BINYUE!

BACA: RENAULT KANGOO 2021 – MAKIN LAWA PULA TENGOK

BACA: KALAU GEELY BINRUI MASUK, NAK GANTI PREVE ATAU PERSONA?

Google ads
Back to top button