Buletin

HONDA MALAYSIA SAH AKAN LANCAR DUA MODEL BAHARU TAHUN INI. HR-V DAN BR-V KE TU?  

Dalam majlis meraikan media malam semalam, Honda Malaysia mengesahkan bahawa ia bakal melancarkan dua model baharu pada tahun ini. 

Perkara tersebut diumumkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo dalam ucapan alu-aluannya. 

Selepas dua tahun ‘berehat’ akibat penularan COVID-19 dan masalah cip semikonduktor yang berlaku di seluruh dunia, Honda Malaysia memulakan tahun 2022 dengan melancarkan Civic generasi ke-11. Ini dibuat hanya sebulan selepas memperkenalkan City Hatchback pada Disember 2021. 

Walaupun tidak menyatakan apakah model yang akan dilancarkan itu, namun ia sudah dapat dijangka, apa lagi kalau bukan BR-V dan HR-V. Ini kerana kalau dilihat kepada barisan model yang ditawarkan oleh Honda Malaysia, hanya kedua-dua model itu masih belum diganti baharu. 

Dalam ucapan sama, Chujo turut menyatakan Honda Malaysia mahu meluaskan lagi varian RS e:HEV, penggunaan enjin VTEC turbo, sistem keselamatan Honda SENSING dan Honda Connect ke dalam model-model baharunya. 

Jadi, ia boleh menjadi indikator bahawa tidak mustahil HR-V dan BR-V baharu akan dipasang dengan teknologi-teknologi tersebut. 

Menjadi SUV segmen B paling laris di Malaysia, kehadiran HR-V baharu memang sangat ditunggu-tunggu. Apatah lagi apabila Thailand sudahpun melancarkan model berkenaan pada Nover tahun lalu. Honda Thailand bagaimanapun hanya menawarkan varian RS e:HEV kepada pengguna di sana.

Ditawarkan pada harga 1 juta baht (RM125,000) seunit, HR-V RS e:HEV dikuasakan oleh enjin 1.5 liter NA dengan kitaran Atkinson bersama sistem hibrid i-MMD yang mampu menjana kuasa mencecah 105hp dan tork 127Nm. 

Kuasa itu digabungkan bersama bateri lithium-ion dan dua motor elektrik yang menawarkan kuasa total sehingga 131hp dan tork tork 253Nm. Rangkaian kuasa berkenaan dipadankan dengan kotak gear e-CVT.  

BR-V pula telah dilancarkan di Indonesia pada hujung tahun lalu. Jentera yang dibina berasaskan kepada model N7X Concept itu menerima enjin aspirasi biasa (NA) 1.5 liter DOHC i-VTEC berkuasa 121PS dan tork 145Nm.

Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda hadapan melalui kotak gear CVT atau manual. Honda dilapor tidak menawarkan varian hibrid untuk memastikan BR-V kekal mampu milik. 

Itu ialah spesifikasi untuk pasaran Thailand dan Indonesia. Kita tunggu sahaja apa yang ingin dihidangkan oleh Honda Malaysia nanti. Tak sabar kan…

Google ads
Back to top button