
DACIA SANDERO KINI MERUPAKAN KERETA BAHARU TERLARIS DI EROPAH
Dacia Sandero secara rasminya adalah merupakan kereta baharu terlaris di Eropah. Walaupun ini adalah gelaran yang telah dipegangnya semenjak dari tahun 2017 lagi bagi jualan runcit,namun angka jualan untuk separuh pertama 2024 menunjukkan bahawa model supermini mampu milik ini kini mendahului carta merentas semua saluran jualan yang ada.
Malah, jualan di seluruh dunia untuk enam bulan pertama 2024 berjumlah 164,789 unit, merupakan peningkatan yang cukup memberangsangkan sebanyak 18.5% berbanding prestasi yang sedia pada separuh pertama tahun lepas. Ia jelas menunjukkan bahawa permintaan dan keyakinan terhadap model Dacia Sandero ini lebih kukuh berbanding sebelum ini.
Sejak ia mula diperkenalkan pada 2008, lebih daripada 3.1 juta Sandero telah dijual, membuktikan bahawa formula Dacia menawarkan semua keperluan dalam pakej yang lengkap, moden, teguh dan mampu milik terus mendapat sambutan daripada pelanggan yang semakin bertambah sehingga ke hari ini.

Walaupun diposisikan sebagai model kereta baharu bernilai terbaik UK, dengan hanya bermula dari £13,795 (RM83,383) di atas jalan, Dacia Sandero didatangkan dengan pakej lengkap meliputi penghawa dingin, kawalan pelayaran dengan pengehad kelajuan, tingkap hadapan elektrik, rangkaian sistem bantuan keselamatan komprehensif pasif dan aktif, dan juga Kawalan Media pintar Dacia yang meletakkan telefon pintar di tengah-tengah sistem infohiburan.
Tambahan lagi, varian Sandero Stepway turut menampilkan perincian luaran dan juga dalaman Copper Brownn serta menawarkan kemasukan tanpa kunci, pengelap automatik, penderia tempat letak kereta hadapan dan belakang dengan kamera undur, brek letak kereta elektronik, penyaman udara automatik, amaran titik buta, sistem cengkaman lanjutan, dan sistem Nav Media Dacia dengan penuh dengan ciri replikasi telefon pintar dan navigasi terbina dalam.

Untuk rekod, jenama Dacia ini bermula semenjak dari tahun 1968, kemudian dilancarkan semula oleh Renault Group pada tahun 2004 yang mengkhususkan produknya untuk seluruh Eropah dan negara Mediterranean.
Kini Dacia sentiasa menawarkan nilai terbaik untuk kereta dengan sentiasa mentakrifkan semula keperluan. Sebagai pengubah permainan, Dacia mencadangkan kereta yang ringkas, pelbagai guna dan boleh dipercayai selaras dengan gaya hidup pelanggan meliputi model Sandero yang cukup laku keras di Eropah, Duster sebagai SUV terlaris di Eropah, Jogger sebagai sebagai model segmen C pilihan keluarga dan juga Spring sebuah model elektrik dengan harga berpatutan.
BACA : DACIA DUSTER SERBA BAHARU – PENERUS LEGASI SUV DARI ROMANIA
BACA : DACIA SPRING SERBA BAHARU – EV MURAH BERBALOI UNTUK WANG



