Buletin

DAIHATSU DAN PERODUA SAMBUNG TAJAAN SAINGAN BADMINTON PERODUA MALAYSIA MASTERS HINGGA TAHUN 2021

Daihatsu dan Perodua hari ini mengumumkan bahawa mereka akan terus menaja acara pertandingan badminton Perodua Malaysia Masters untuk tempoh dua tahun lagi sehingga 2021.

Perodua Malaysia Masters akan menjadi acara pertama dalam kalendar HSBC World Tour Super 500. Pertandingan yang menawarkan hadiah AS$400,000 (RM1.6 juta) itu bakal bermula pada 7-12 Januari 2020 dan menjemput para pemain terbaik ke Axiata Arena, Kuala Lumpur.

Dengan kerjasama baru ini, Daihatsu dan Perodua mengukuhkan lagi komitmen mereka untuk membangunkan sukan badminton negara, selain menawarkan persembahan yang menarik buat peminat sukan itu. 

Daihatsu, Perodua dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga mahu menggunakan pendedahan pertandingan itu untuk memupuk minat terhadap sukan badminton di peringkat akar umbi. Kerjasama di antara tiga pihak itu dilihat semakin mantap dalam menguatkan semangat di kalangan pemain muda negara.

“Dengan kejayaan menamatkan Program Pembangunan Bakat Badminton untuk tahun kedua dan liputan Perodua Malaysia Masters yang bertaraf dunia, semua ini cukup signifikan lebih-lebih lagi ketika Olimpik Tokyo bakal berlangsung tahun hadapan. 

“Saya yakin pemain muda cukup bersemangat untuk meningkatkan lagi potensi diri mereka dalam sukan badminton,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad. 

Para peminat boleh menonton aksi pakar beregu campuran negara, Goh Liu Ying-Chan Peng Soon dan ramai pemain berbakat lain mempamerkan aksi menarik di gelanggang nanti.

Tiket boleh dibeli di https://myticket.asia/ bermula pada 25 November 2019. 

Google ads
Back to top button