Buletin

PERODUA SUMBANG SEMBILAN KENDERAAN KEPADA DUA IPD DI SELANGOR

Perodua menyumbangkan sembilan kenderaan kepada dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Selangor bagi menyokong kelancaran tugas penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan awam.

Sumbangan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu membabitkan tujuh unit Perodua Ativa dan dua unit Perodua Aruz untuk kegunaan IPD Hulu Selangor dan IPD KLIA.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, sumbangan itu mencerminkan penghargaan syarikat terhadap komitmen anggota polis dalam memelihara keamanan dan keselamatan negara.

Beliau berharap kenderaan berkenaan dapat membantu meningkatkan keupayaan pihak polis menjalankan tugas serta memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dengan lebih berkesan.

Penyerahan kenderaan dilakukan secara berperingkat sejak April lalu, bermula dengan tiga unit Perodua Ativa kepada IPD Hulu Selangor.

Baki enam kenderaan lagi diserahkan dalam satu majlis di Kuala Kubu Bharu pada 12 Oktober 2026, yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor, Dato’ Pahlawan Shazeli Dato’ Kahar.

Pada majlis itu, Shazeli menerima replika kunci daripada Zainal sebagai simbolik penyerahan kenderaan dan kerjasama antara Perodua dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kerjasama Perodua dengan pihak polis di Selangor bukan perkara baharu apabila syarikat itu sudah menyumbangkan 21 kenderaan kepada beberapa IPD di negeri berkenaan sejak 2019, termasuk sumbangan terbaharu.

Sebelum ini, Perodua menyumbangkan dua unit Bezza pada 2019, empat unit Myvi pada 2022 dan enam kenderaan pelbagai model pada 2024.

Sumbangan berterusan itu mencerminkan komitmen Perodua untuk menyokong agensi penguatkuasaan dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Google ads
Back to top button