
PERODUA QV-E. RM 800 JUTA UNTUK EV, BERBALOI KE MEMBAZIR?
RM800 juta telah dibelanjakan oleh Perodua untuk membangunkan sebuah kereta elektrik, tetapi kapasiti pengeluaran pada peringkat awal cuma sekitar 500 unit sebulan. Kalau dilihat dari sudut perniagaan semata-mata, memang ramai pembaca akan bertanya, bila agaknya pelaburan sebesar ini boleh balik modal?
Berapa lama pula Perodua perlu mengambil masa untuk melunaskan kos pembangunan platform, kilang dan peralatan? Itulah juga persoalan pertama yang bermain di fikiran penulis selepas melihat Perodua QV-E dilancarkan.
Namun selepas melihat sendiri bagaimana Perodua membangunkan QV-E dan menggunakannya dalam tempoh yang lebih lama, penulis mula sedar bahawa RM800 juta itu sebenarnya bukan sekadar untuk menghasilkan sebuah model baharu. Ia adalah pelaburan bagi membina kepakaran tempatan dalam pembangunan EV.

Berbeza dengan Proton yang mendapat sokongan Geely, Perodua tidak mempunyai “jalan mudah”. Toyota dan Daihatsu memang memiliki teknologi elektrifikasi, tetapi itu tidak bermakna segala kepakaran tersebut boleh dipindahkan begitu sahaja kepada Perodua. Banyak perkara masih perlu dibangunkan sendiri.
Sebab itu penulis melihat QV-E sebagai sebuah projek kejuruteraan yang jauh lebih besar daripada sekadar sebuah kereta elektrik bawah RM100,000. Platform modular QV-E yang dibangunkan bersama Magna menjadi contoh terbaik.
Hak harta intelek (IP) platform ini dimiliki Perodua sendiri dan ia direka supaya boleh digunakan untuk pelbagai jenis kenderaan pada masa depan, sama ada hatchback, sedan, crossover, SUV, malah berpotensi menyokong sistem EV, REEV, hibrid dan mungkin juga enjin pembakaran dalaman.

Dalam erti kata lain, RM800 juta itu ialah yuran pembelajaran yang akan digunakan untuk membangunkan generasi Perodua yang seterusnya. Ironinya, pencapaian ini sedikit tenggelam apabila tumpuan orang ramai lebih terarah kepada cadangan Battery-as-a-Service (BaaS).
Perodua akhirnya membuat keputusan yang tepat apabila menawarkan dua pilihan kepada pengguna. Mereka yang mahu harga lebih rendah boleh memilih model BaaS pada sekitar RM63,499, manakala mereka yang mahu memiliki bateri sepenuhnya boleh membeli pada harga sekitar RM87,499 selepas rebat pengenalan.
Sekurang-kurangnya pengguna kini diberi pilihan mengikut keperluan masing-masing sebelum ini. Dari segi reka bentuk, penulis berani katakan QV-E ialah Perodua paling berani pernah dihasilkan dan lari daripada rekaan selamat yang selama ini sebati dengan jenama Perodua

Selama ini reka bentuk Perodua lebih bersifat konservatif dan utilitarian, tetapi QV-E tampil dengan imej crossover bersama siluet fastback yang lebih sporty. Garisan bumbung yang menurun ke arah belakang, pemegang pintu belakang tersembunyi serta bentuk badan yang lebih aerodinamik menjadikan ia kelihatan jauh lebih moden berbanding mana-mana Perodua sebelum ini.
Walaupun tampil bergaya, dimensi keseluruhannya masih praktikal dengan panjang 4,170 mm dan jarak roda 2,680 mm yang hampir menyamai Toyota C-HR. Ruang but juga cukup berguna dengan kapasiti yang mampu memuatkan empat beg kabin.
Bahagian dalaman pula memberi kejutan yang cukup positif. Perodua masih mengekalkan banyak butang fizikal untuk penyaman udara, mod pemanduan, Auto Hold dan tahap brek regeneratif. penulis lebih gemar pendekatan ini kerana fungsi penting masih boleh dikendalikan tanpa perlu menyelak menu pada skrin sentuh.

Secara keseluruhan penulis memandang positif rekaan papan pemuka dan konsol tengah QV-E ini. Ia direka agar nampak moden, ringkas dan pada masa yang sama sangat praktikal. Ia nampak lain daripada kebanyakan model Perodua yang lain dan lebih baik dari model Alza, Traz dan juga Ativa.
Material lembut turut digunakan pada bahagian yang sering disentuh seperti papan pemuka, panel pintu dan konsol tengah. Walaupun bukan keseluruhan kabin menggunakan soft-touch, pemilihan lokasi tersebut sudah cukup untuk memberikan rasa premium yang tidak pernah dialami pada model Perodua sebelum ini.
Pujian harus diberikan pada meter pemandu diintegrasikan ke dalam papan pemuka. Ia bukan sekadar tablet yang dilekatkan di atas dashboard seperti trend kebanyakan EV sekarang. Rekaan sebegini nampak lebih kemas, matang dan mempunyai identiti tersendiri.

Perodua turut memberi penekanan kepada aspek digital. Sebagai contoh, melalui aplikasi telefon pintar P-Circle, pengguna boleh menyemak baki bateri, menghidupkan penyaman udara sebelum masuk ke dalam kereta dan menetapkan geofencing.
Malah tindakan Perodua yang memperkenalkan fungsi kunci digital menggunakan jam tangan RFID juga antara ciri yang menarik. Mungkin teknologi sebegini bukan sesuatu yang baharu dalam dunia automotif, tetapi bagi sebuah pengeluar tempatan, usaha membangunkan ekosistem digital sendiri menunjukkan Perodua berusaha menarik perhatian generasi muda yang membesar dengan telefon pintar.

Sistem infotainmen 10.25 inci pula mudah digunakan dan sambungan Apple CarPlay serta Android Auto tanpa wayar berjalan lancar. Cuma saya perasan penggunaan tanpa wayar menyebabkan penggunaan RAM telefon meningkat dan kadangkala terdapat sedikit kelewatan ketika digunakan.
Ambient lighting turut membantu menaikkan suasana kabin. Walaupun pilihan warnanya memang tidak terlalu banyak, namun pengguna masih boleh menukar atau mematikannya mengikut cita rasa masing-masing. Ia mungkin kedengaran seperti ciri kecil, tetapi pencahayaan sebegini banyak mempengaruhi persepsi terhadap kualiti sesebuah kabin, terutama ketika memandu pada waktu malam.
Dalam QV-E, suhu penyaman masih boleh diubah menggunakan butang fizikal. Jika mahu tetapan yang lebih terperinci, pengguna hanya perlu swipe ke bawah pada skrin atau menekan ikon kipas. Satu perkara yang sedikit mengganggu ialah apabila Apple CarPlay atau Android Auto digunakan dalam mod skrin penuh, paparan kawalan penyaman udara tidak lagi kelihatan.

QV-E turut menawarkan cermin pandang belakang digital yang memaparkan imej daripada kamera belakang. Paparannya terang, jelas dan sangat membantu terutama apabila ruang but dipenuhi barang sehingga menghalang pandangan melalui cermin biasa. Ciri seperti ini lazimnya hanya ditemui pada model yang jauh lebih mahal, jadi kehadirannya pada sebuah EV sekitar RM60,000 hingga RM80,000 memang sesuatu yang wajar dipuji.
Satu lagi ciri yang mungkin jarang disentuh ialah butang bantuan kecemasan atau SOS. Apabila diaktifkan, pengguna akan disambungkan kepada pusat bantuan pihak ketiga yang boleh menguruskan bantuan kecemasan sekiranya berlaku kemalangan atau situasi yang memerlukan tindakan segera. Semoga ia tidak pernah digunakan, tetapi apabila diperlukan, ciri seperti inilah yang mampu memberikan ketenangan kepada pemilik.
Perodua juga mengambil pendekatan yang lebih praktikal dengan mengekalkan tombol suis konvensional untuk suis lampu dan pengelap cermin. Saya lebih menyukai penyelesaian ini berbanding trend sesetengah EV moden yang memindahkan fungsi tersebut ke butang pada stereng. Kawalan menjadi lebih intuitif dan pengguna tidak perlu mengambil masa untuk membiasakan diri setiap kali memandu kereta baharu.

Namun begitu, tidak semua perkara dalam kabin QV-E sempurna.
Tempat duduk hadapan sememangnya kelihatan sporty dan menarik, malah tempat duduk pemandu dilengkapi pelarasan kuasa. Malangnya, bahagian kusyen terasa agak keras, terutama pada sokongan bahagian upper back dan middle back ketika memandu dalam tempoh yang lama yang menyebabkan penulis sakit belakang. Sokongan pada bahagian paha juga kurang memuaskan kerana kusyen dipasang agak rendah menyebabkan kaki penulis terasa sedikit tergantung.
Satu lagi kekurangan ialah tempat duduk pemandu hanya menawarkan pelarasan kuasa secara keseluruhan. Bahagian hadapan dan belakang kusyen tidak boleh dilaraskan secara berasingan untuk mendapatkan sokongan paha yang lebih baik. Ini mungkin tidak menjadi isu kepada semua orang, tetapi bagi mereka yang sering memandu jarak jauh, ia antara perkara yang boleh dirasai.
Di bahagian belakang, situasinya hampir sama. Kusyen masih agak keras dan kurang empuk untuk perjalanan yang panjang. Rekaan fastback pula memaksa Perodua merendahkan kedudukan tempat duduk belakang bagi memastikan ruang kepala masih mencukupi. Kesannya, sokongan paha menjadi sedikit terhad kerana posisi duduk lebih rendah. Sebenarnya ini ialah kompromi reka bentuk dan bukannya kelemahan mutlak.

Jika Perodua memilih kusyen yang lebih tebal dan kedudukan tempat duduk yang lebih tinggi, sokongan paha sememangnya akan menjadi lebih baik. Namun pada masa sama, ruang kaki penumpang belakang pula akan berkurangan. Jelas sekali Perodua memilih untuk mengutamakan ruang kabin serta gaya rekaan berbanding keselesaan maksimum bagi perjalanan jauh.
Satu perkara yang mungkin akan dipersoalkan sesetengah pembeli ialah ketiadaan corong penyaman udara khusus untuk penumpang belakang. Walaupun begitu, sepanjang saya menggunakannya, aliran udara daripada penyaman udara hadapan sebenarnya cukup kuat untuk menyejukkan keseluruhan kabin dengan cepat.
Ada juga beberapa perkara kecil yang boleh dibaiki oleh Perodua pada masa depan. Contohnya glove box tidak mempunyai sistem soft opening atau damper. Apabila dibuka, penutupnya terus jatuh tanpa sebarang kawalan. Ia bukan isu besar, tetapi ciri kecil seperti ini sebenarnya mampu memberikan rasa premium yang lebih baik kepada keseluruhan pengalaman pemilikan.

Dalam aspek trenkuasa, QV-E menggunakan bateri CATL LFP berkapasiti 52.5 kWh lengkap dengan sistem penyejukan cecair serta diberi perlindungan air serta habuk dengan penarafan IP69. Sistem pengecasan AC menyokong sehingga 6.6 kW manakala pengecasan pantas DC mencapai 60 kW.
Di atas kertas, jarak pemanduan mencecah 445 km NEDC atau sekitar 370 km WLTP. Sepanjang pandu uji, penggunaan tenaga sekitar 6.85 km/kWh yang memberikan jarak dunia sebenar sekitar 360 km, satu angka yang cukup praktikal untuk kegunaan harian.
Prestasi QV-Ejuga tidak mengecewakan dengan tawaran pecutan dari 0-100 km/j sekitar 7.5 saat, sudah memadai untuk sebuah EV keluarga. Manakala halaju tertinggi adalah sekitar 170km/jam yang pada penulis tidak akan dibuat oleh mana-mana pemilik sekalipun

Stereng QV-E mempunyai mod Normal dan Sport, dengan kebanyakan masa penulis berada dalam tetapan Sport walaupun ia terasa ringan. Namun talaannya masih lebih “berisi” berbanding sesetengah EV dari China yang saya pernah pandu.
Tetapi apa yang paling saya suka ialah talaan suspensinya, ia jauh melangkaui jangkaan penulis yang pada awalnya merasakan pemanduan adalah sama seperti Bezza. Mungkin ia akan melayang pada halaju tinggi dan menyenget ketika melalui selekoh. Oh boy penulis salah sama sekali.
Walaupun menggunakan kombinasi McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang untuk platform EV baru ini, Perodua berjaya mendapatkan keseimbangan yang sangat baik. Suspensi tidak terlalu lembut sehingga terasa melantun, dan tidak juga terlalu keras sehingga mengganggu keselesaan malah tidak keterlaluan ia adalah tetapan suspensi yang baik berbanding jenama China yang jauh lebih mahal.

Pada kelajuan lebuh raya sekitar 110 km/j kereta terasa stabil dengan “straight line stability” yang bagus. Manakala di jalan kampung, penyerap hentak masih mampu menyerap permukaan tidak rata dengan baik pada halaju yang sama di jalan berselekoh. Bagi penulis, inilah antara talaan casis terbaik untuk sebuah EV bawah RM100,000.
Sistem brek juga memberikan keyakinan. Pedal brek mudah dimodulasikan dengan respon awal yang linear walaupun menggunakan sistem brek regeneratif. Tiga tahap regen turut disediakan bagi membolehkan pemandu memilih karakter pemanduan mengikut kesesuaian.
Namun QV-E bukan sebuah kereta yang sempurna.
Satu lagi perkara ialah tayar asal Atlas. Ketika memecut, tayar mudah menghasilkan bunyi dan tahap cengkamannya tidak begitu meyakinkan. Bunyi tayar juga agak ketara ketika dipandu laju. Pada pendapat saya, QV-E akan menjadi jauh lebih baik jika dipadankan dengan tayar seperti Bridgestone Turanza 6 EV atau Continental UX7.

Saya juga merasakan talaan pedal pendikit mempunyai sedikit kelewatan ketika mula memecut. Kemungkinan besar Perodua sengaja melakukannya bagi mengurangkan lonjakan tork pada roda hadapan sekali gus mengelakkan tayar mudah kehilangan cengkaman.
namun pada masa yang sama tetapan begini menawarkan pengalaman pecutan seakan-akan sebuah SUV berkuasa petrol dengan tork yang dibina secara perlahan-lahan. Situasi ini juga menjadikan pecutan QV-E lebih lancar tanpa menyebabkan penulis terasa pening akibat hentakan yang berlaku pada kepala setiap kali pedal minyak ditekan rapat pada lantai
Beberapa perkara kecil lain turut boleh diperbaiki seperti penggunaan kemasan piano hitam yang agak banyak, trim perak yang kelihatan sedikit murah dan terasa murah apabila disentuh serta dioketuk, resolusi paparan infotainmen yang boleh dipertingkatkan, serta kamera 360 darjah yang kurang jelas pada waktu malam.

Dari sudut keselamatan pula, QV-E memperoleh penarafan lima bintang dari ASEAN NCAP lengkapdengan pakej ADAS yang lengkap. Walaupun masih ada beberapa ciri yang belum ditawarkan seperti Adaptive High Beam dan Front Departure Alert, tahap perlindungan keseluruhannya tetap meyakinkan.
Jadi, siapakah yang sesuai membeli QV-E?
Pada hemat penulis, QV-E paling sesuai untuk golongan muda yang mahukan sebuah EV moden dengan reka bentuk berani tanpa perlu berbelanja melebihi RM100,000. Ia juga sesuai untuk mereka yang tidak berminat dengan model Proton atau jenama China tetapi masih mahukan sebuah EV pada harga yang lebih mampu milik.
Atau QV-E boleh dijadikan sebagai kereta kedua atau ketiga bagi keluarga yang mampu, yang mahukan sebuah SUV elektrik dengan sokongan tidak berbelah bahagi dari pusat servis yang bertebaran di Malaysia.
Adakah ia sempurna? Tidak.
Tetapi selepas menghabiskan lebih banyak masa bersama QV-E, saya semakin memahami falsafah di sebalik pembangunannya.
RM800 juta itu bukan sekadar melahirkan sebuah kereta elektrik. Ia membina kepakaran jurutera tempatan, menghasilkan harta intelek milik Perodua sendiri dan membuka jalan kepada generasi EV yang akan datang.







