
BERDEPAN TEKANAN, PERODUA BAKAL LANCAR MYVI DAN BEZZA FACELIFT?
Perodua dilihat sedang menyusun strategi baharu bagi barisan model popularnya ketika persaingan dalam pasaran automotif tempatan semakin sengit, dengan dua nama besar iaitu Bezza dan Myvi dikaitkan dengan perubahan produk dalam tempoh akan datang.
Perkembangan terbaharu menunjukkan Bezza mungkin menerima beberapa perubahan penting, termasuk penyusunan semula varian dengan kemungkinan kemunculan sebuah Bezza 1.3 versi “Rahmah” yang dikatakan bakal menggantikan varian 1.0. Pada masa sama, terdapat maklumat dalaman yang mendakwa Myvi juga mungkin menerima satu lagi kemas kini sebelum Perodua memperkenalkan generasi seterusnya.
Jika maklumat itu benar, langkah tersebut agak menarik kerana Bezza paling asas tidak lagi menggunakan enjin 1.0 liter tiga silinder 1KR-VE yang menghasilkan 67 PS. Sebaliknya, varian baharu itu dikatakan akan menggunakan enjin 1.3 liter empat silinder 2NR-VE Dual VVT-i dengan output sekitar 94 PS, seperti yang digunakan pada varian Bezza 1.3 sedia ada.
Bagaimanapun, pendekatan “Rahmah” itu tidak semestinya bermaksud Bezza tersebut akan menerima lebih banyak kelengkapan. Sebaliknya, Perodua berkemungkinan mengekalkan enjin yang lebih besar tetapi mengurangkan atau menyusun semula kelengkapan bagi membolehkan harga jualan kekal kompetitif.
Kemungkinan besar Bezza versi 1.3 tersebut masih akan mengekalkan reka bentuk semasa bagi menjimatkan kos pengeluaran. Ini bermakna perubahan yang bakal dilakukan tidak semestinya melibatkan generasi baharu, sebaliknya lebih kepada strategi varian dan spesifikasi.
Perkara ini selari dengan maklumat yang pernah dinyatakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, bahawa Bezza dalam bentuk semasa dijangka terus berada di pasaran sehingga sekitar 2030 kerana pembangunan penggantinya masih memerlukan masa pembangunan.
Jika ia melibatkan Bezza, model sedan berkenaan berpotensi menerima perubahan yang lebih besar berbanding sekadar pertukaran varian. Antara kemungkinan yang dibangkitkan ialah peningkatan sistem keselamatan, termasuk enam beg udara dan penambahan ciri ADAS berbanding ciri ADAS yang asas pada varian AV.
Ini juga masuk akal dari segi tempoh hayat model kerana Bezza generasi kedua masih belum dijangka muncul dalam masa terdekat, sedangkan model semasa sudah berada di pasaran sejak 2016. Sebuah facelift besar boleh menjadi cara untuk Perodua memastikan Bezza kekal kompetitif sehingga generasi baharunya tiba kelak.
Dalam masa yang sama juga terdapat kemungkinan Perodua mempunyai satu lagi perancangan untuk Myvi semasa, iaitu satu lagi facelift atau kemas kini sebelum model baharu mengambil alih sepenuhnya. Maklumat ini menarik kerana perkembangan yang diketahui umum ketika ini lebih banyak menjurus kepada Myvi generasi keempat dengan kod pembangunan D01D. Model tersebut sebelum ini dilaporkan sebagai calon utama untuk model baharu Perodua yang akan memasuki pengeluaran pada 2027.
Justeru, jika maklumat dalaman mengenai satu lagi facelift Myvi itu tepat, Perodua mungkin mempunyai strategi yang sedikit berbeza daripada apa yang dijangkakan ramai. Model Myvi generasi ketiga yang ada sekarang berpotensi diberikan satu lagi nafas baharu sebelum generasi keempat diperkenalkan, bergantung kepada perancangan akhir syarikat.
Perkara ini juga perlu dilihat dalam konteks persaingan pasaran semasa. Myvi yang selama bertahun-tahun menjadi antara model terlaris negara kini berdepan persaingan yang semakin sengit daripada model baharu seperti Proton Saga dan juga Proton S70 Lite/Prime yang menawarkan lebih banyak ciri pada harga yang sungguh kompetitif
Walaubagaimanapun, Perodua masih belum mengesahkan secara rasmi mengenai Bezza 1.3 “Rahmah” tersebut mahupun sebarang facelift baharu untuk Myvi. Maklumat mengenai Myvi facelift juga perlu dianggap sebagai khabar angin sahaja dan bukannya pengumuman rasmi syarikat.
Apa yang pasti, tahun 2027 berpotensi menjadi tempoh yang cukup menarik untuk Perodua. Sama ada Bezza akan menerima kemas kini besar terlebih dahulu, Myvi generasi baharu muncul seperti yang dijangka, atau kedua-duanya mendapat perubahan dalam tempoh yang berdekatan, strategi Perodua jelas perlu mengambil kira perubahan pantas dalam pasaran kereta mampu milik tempatan.








