
PERODUA, BANK RAKYAT PERKENAL KAD KREDIT-i KHAS UNTUK PEMILIK KENDERAAN
Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan Bank Rakyat menjalin kerjasama strategik menerusi pengenalan Kad Kredit-i Perodua-Bank Rakyat yang menawarkan pelbagai kelebihan khusus kepada pengguna dalam sektor automotif.
Inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan menyokong pembangunan ekosistem automotif negara, malah memberi nilai tambah kepada pemilik kenderaan melalui program ganjaran yang boleh ditebus dengan mudah menerusi aplikasi P-Circle Perodua.
Antara manfaat utama yang ditawarkan termasuk ganjaran lima kali ganda mata ganjaran bagi perbelanjaan berkaitan bahan api, pengecasan kenderaan elektrik (EV), penyelenggaraan kenderaan serta pembelian perlindungan takaful.
Kad Kredit-i itu turut menyediakan kemudahan transaksi luar negara tanpa sebarang yuran tambahan serta pengecualian yuran tahunan kepada pemegang kad.
Dari aspek perlindungan, pengguna turut menikmati perlindungan takaful percuma bagi baki tertunggak sehingga RM300,000 sehingga usia 70 tahun, selain manfaat Khairat Kematian berjumlah RM1,000.
Menariknya, kad tersebut hadir dengan dua pilihan rekaan eksklusif yang diinspirasikan daripada model konsep Perodua QV-E serta watak TIRA yang diperkenalkan menerusi kandungan animasi dalam aplikasi P-Circle Perodua.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pelancaran produk itu menjadi satu detik penting buat syarikat kerana ia merupakan kerjasama pertama Perodua dengan institusi perbankan bagi pengeluaran Kad Kredit-i.
Menurut beliau, Perodua menghargai sokongan Bank Rakyat dalam menjayakan kerjasama tersebut dan pihaknya akan memperkenalkan pelbagai kempen khas bagi menggalakkan pelanggan mendapatkan kad berkenaan melalui tawaran eksklusif yang disediakan di bawah pakej Perodua.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, kerjasama tersebut mencerminkan usaha bank itu dalam membangunkan ekosistem yang memberi manfaat lebih menyeluruh kepada pelanggan melalui gabungan perkhidmatan perbankan Islam dan industri automotif.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi “Untuk Semua” yang menjadi teras Bank Rakyat dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang inklusif dan relevan kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Menurutnya lagi, kerjasama strategik seperti itu mampu memperluaskan capaian perkhidmatan Bank Rakyat, meningkatkan pengalaman pelanggan serta membuka ruang kepada pembangunan produk kewangan patuh Syariah yang lebih inovatif dan bernilai tambah pada masa hadapan.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Kad Kredit-i Perodua-Bank Rakyat di mana-mana pusat jualan dan servis Perodua serta cawangan Bank Rakyat di seluruh negara.







