Motosikal

ALEX MARQUEZ TERJATUH PADA SESI UJIAN PERTAMA MOTOGP. MENGAKU BUAT KESILAPAN ‘ROOKIE’

Alex Marquez dilaporkan terjatuh pada sesi pertama ujian jentera MotoGP di Litar Valencia hanya selepas 20 minit dan melengkapkan lapan pusingan semalam.

Seperti dijangka, Alex sudahpun merasakan tekanan apabila semua pihak menumpukan perhatian ke atasnya selepas dipilih sebagai pelumba pasukan Repsol Honda untuk bergandingan bersama abangnya yang juga juara dunia 6 kali, Marc. 

Alex yang menunggang jentera pelumba pasukan LCR Honda, Cal Crutchlow spesifikasi 2019, terjatuh pada Selekoh 10, menyebabkan motosikal itu mengalami kerosakan teruk.

Selekoh 10 di litar Valencia memang terkenal dengan kesukarannya dan pelumba yang jatuh di sana seperti sudah menjadi perkara biasa. 

Walaupun insiden itu mungkin menjejaskan sedikit keyakinannya, Alex dapat menamatkan 53 baki pusingan dengan catataN masa yang tidak jauh berbeza dengan pelumba ujian HRC, Stefan Bradl. 

“Memang bukan satu permulaan yang baik. Ini adalah kesilapan rookie kerana Selekoh 10 memang kritikal terutama pada waktu pagI. Alberto (Puig) kata, kamu jatuh, jangan bimbang kerana kami ada. Apa yang lebih penting sekarang adalah untuk belajar, cari had jentera dan terus berkembang sebagai seorang pelumba,” kata Alex. 

Alex mengakui bahawa berbanding jentera Moto2, kuasa brek karbon menjadi perbezaan utama dan dia masih berusaha untuk menyesuaikan diri. Dari segi kelengkapan elektronik pula, sistem yang ada pada jentera Moto2 banyak membantu. Sekali gus membuatkannya rasa lebih bersedia. 

Dia juga ada meminta abangnya untuk melihat bagaimana tunggangannya. Apa yang penting, Alex memberitahu dia perlu terus belajar tentang banyak perkara seperti tayar, brek dan elektronik. 

Pada sesi ujian kali ini, Alex berada di pit LCR Honda sebelum berpindah ke garaj Repsol Honda di Litar Jerez minggu depan. Alex akan diberi pasuka mekanik yang sama seperti Jorge Lorenzo, diketuai oleh Ramon Aurin. 

Marc juga berdepan nasib sama apabila terjatuh dan merosakkan satu-satunya jentera prototaip 2020 di selekoh sama kira-kira 40 minit kemudian. 

Ujian pra-musim 2020 itu menyaksikan pelumba Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo berada di tempat pertama. Diikuti oleh Maverick Vinales (Yamaha), Franco Morbidelli (Petronas Yamaha) dan Andrea Dovizioso (Ducati).  

Google ads
Back to top button