Artikel Pilihan

DENDA RM34K, SEWA KERETA PADA TYPE R

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mendedahkan terdapat warga Rohingya yang menyewa kenderaan daripada penduduk tempatan untuk digunakan bagi urusan harian, termasuk kenderaan daripada kategori mewah.

Menurut Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata kegiatan itu dikesan menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan pihaknya, dengan warga Rohingya terbabit dipercayai memilih untuk menyewa kenderaan berbanding membelinya sendiri.

Kadar sewaan yang dikenakan dilaporkan antara RM50 hingga RM500 sebulan, bergantung kepada jenis kenderaan serta persetujuan antara penyewa dan pemilik kenderaan.

Bagaimanapun, perkara itu menimbulkan kebimbangan apabila warga Rohingya yang menggunakan kenderaan berkenaan didapati tidak mempunyai lesen memandu yang sah. Ini menyebabkan pemilik kenderaan yang membenarkan individu tidak mempunyai lesen memandu menggunakan kenderaan mereka juga boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Sehingga Jun lalu, sebanyak 34 pemilik kenderaan di Kelantan telah dibawa ke mahkamah kerana membenarkan kenderaan mereka digunakan oleh individu yang tidak mempunyai lesen memandu sah. Keseluruhan kes berkenaan menyaksikan pemilik didenda sebanyak RM34,000.

Penguatkuasaan berkenaan turut dijalankan menerusi Ops PEWA atau Operasi Pemandu Warga Asing yang memberi tumpuan kepada kesalahan membabitkan pemandu warga asing. Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, JPJ Kelantan mendapati kira-kira 85 peratus daripada pesalah warga asing yang dikesan dalam operasi berkenaan adalah warga Rohingya.

Dalam tempoh sama, sebanyak 180 kenderaan diperiksa dan 105 daripadanya disita. JPJ turut mengeluarkan 201 notis yang membabitkan keseluruhan 439 kesalahan. Kesalahan paling banyak direkodkan ialah memandu tanpa Lesen Memandu Kompeten (CDL), iaitu sebanyak 210 kes, manakala 105 kes lagi membabitkan penyalahgunaan Lesen Kenderaan Motor (LKM).

Secara keseluruhan, operasi penguatkuasaan dalam tempoh berkenaan merekodkan 576 kenderaan diperiksa, dengan 457 kenderaan disita dan 908 saman dikeluarkan. JPJ menegaskan bahawa warga Rohingya, sama seperti pengguna jalan raya lain, tidak dibenarkan memandu kenderaan di Malaysia tanpa lesen memandu yang sah.

Pada masa sama, pemilik kenderaan perlu bertanggungjawab memastikan individu yang diberikan kebenaran menggunakan kenderaan mempunyai lesen memandu yang sah.

Pemilik yang menyewakan atau membenarkan kenderaan mereka digunakan oleh individu tanpa lesen sah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kenderaan yang terlibat juga boleh disita mengikut peruntukan undang-undang.

JPJ Kelantan menegaskan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang, selain mengelakkan pemilik kenderaan mengambil mudah soal pemberian atau penyewaan kenderaan kepada individu yang tidak mempunyai kelayakan memandu.

Google ads
Back to top button