Buletin

DRB-HICOM, GEELY METERAI PERJANJIAN PEMBANGUNAN AHTV

DRB-HICOM Berhad dan Geely telah menandatangani Dasar-Dasar Utama Perjanjian (HOA) bagi mengukuhkan jalinan kerjasama antara kedua-dua syarikat bagi fasa seterusnya.

Perjanjian itu ditandatangani di Forum Perniagaan Malaysia-China yang berlangsung sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim ke China. HOA bertujuan membolehkan Automotive High-Tech Valley (AHTV) dibangunkan sebagai hab kenderaan generasi akan datang di Tanjong Malim. 

Ia bakal merangkumi rantaian nilai penyelesaian automotif dan mobiliti secara meluas, daripada pusat penyelidikan dan pembangunan global berteknologi tinggi sehingga kepada kluster pembuatan dan perkhidmatan sokongan serta ekosistem berkaitan.

Fokus HOA ialah pembangunan bandar raya automotif bersepadu yang akan melahirkan hab bagi industri kenderaan tenaga baharu (NEV). Keluasan kawasan AHTV diaggarkan kira-kira 1,000 ekar dan boleh diluaskan lagi mengikut keperluan masa hadapan.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Dato’ Sri Syed Faisal Albar bagi pihak DRB-HICOM, manakala Geely diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Geely Holding Group, Daniel Li Donghui. Majlis itu disaksikan oleh Anwar. Turut hadir bersama ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan ramai lagi. 

Dalam tempoh 10 tahun akan datang, AHTV dijangka menarik pelaburan bernilai kira-kira RM32 bilion, termasuk pelaburan daripada syarikat kereta nasional PROTON. AHTV juga akan memperolehi faedah secara langsung serta tidak langsung daripada rancangan PROTON untuk memindahkan semua fasiliti pembuatannya ke Tanjong Malim menjelang 2026. 

Ketika ini, PROTON mengeluarkan lima model kereta di AHTV dan dua model di Shah Alam, Selangor. AHTV juga akan mempunyai universiti penyelidikan untuk memupuk bakat baharu dan pembangunan di dalam bidang teknologi baharu untuk industri dan sektor automotif secara amnya. 

Ia juga akan menempatkan pusat penyelidikan dan pembangunan yang membolehkan pembuat kereta menguji kenderaan dalam persekitran tropika.

Dengan trend dunia yang menjurus kepada NEV, peranan Geely dalam pembangunan AHTV adalah tepat, memandangkan pengalaman luas pembuat kereta China ini dalam sektor tersebut. Jenama utama Geely iaitu Geely Auto telah melancarkan beberapa NEV, termasuk jenama EV pintar dan mewah Zeekr. 

Syarikat itu telah melabur dalam pelbagai teknologi bateri dan mempunyai bahagian tenaga baharu khusus yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan pengeluaran NEV. Geely ada mengumumkan rancangannya untuk melancarkan lebih daripada 30 model tenaga baharu di bawah jenama-jenamanya menjelang 2025.

Google ads
Back to top button