Pandu Uji

REBIU RINGKAS SMART #1: MAMPUKAH TARIK MINAT PEMBELI EV MEWAH DI MALAYSIA?

Apa yang anda ingat kalau sebut tentang kereta jenama smart? Bagi saya, perkara pertama yang terlintas pastinya kereta kompak yang mempunyai reka bentuk agak pelik, apa lagi kalau bukan smart fortwo atau model lebih besarnya, smart forfour. 

Kini, smart bakal kembali ke pasaran Malaysia tetapi dalam bentuk model elektrik sepenuhnya (EV). Selepas menjalani kitaran hidup yang suram, smart kembali hidup pada tahun 2019 dengan tekad untuk hanya menghasilkan model EV sahaja. 

Bagi mereka yang kurang pasti mana datangnya jenama ini, smart sebenarnya ialah satu jenama di bawah Daimler Group. Dipendekkan cerita, Daimler Group kemudian menjalin kerjasama dengan Geely Automobile Holdings. 

Antara intipati kerjasama itu ialah Geely yang memegang 50 peratus saham smart akan membangunkan jentera tersebut di China. Manakala Daimler pula bertanggungjawab dalam aspek reka bentuk dalaman dan luaran kenderaan smart. 

Model pertama hasil kerjasama itu ialah smart #1 yang merupakan sebuah SUV dengan saiz tidak jauh berbeza dengan Mercedes-Benz EQA. Diperkenalkan buat pertama kali di Berlin Jerman pada April 2022, tempahan #1 dibuka secara rasmi di China beberapa hari selepas itu. 

Tanpa disangka, ia mendapat sambutan hangat apabila 10,000 tempahan diterima dalam masa 24 jam dengan penyerahan kepada pelanggan bermula tiga bulan kemudian.  

Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, smart #1 dijadual dilancarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia pada suku keempat tahun ini. Mekanika Malaysia merupakan antara media yang terpilih untuk menyertai sesi pandu uji eksklusifnya di litar ujian Proton di Shah Alam. 

Perkara pertama yang saya kena akui ialah smart #1 adalah jauh lebih besar berbanding kalau dilihat dari foto sahaja. Secara keseluruhannya, ia jelas membawa DNA reka bentuk Daimler Group atau lebih tepat lagi Mercedes-Benz. Secara jujurnya, saya bukanlah peminat reka bentuk berbentuk bulat yang memonopoli hampir keseluruhan penampilan luarannya.

Biarpun begitu, dapat dilihat dengan jelas bahawa jentera itu mahu menampilkan imej premium dan mahal. Jadi, anda akan menerima garisan lampu LED pada bahagian belakang, sepasang lampu utama LED berbentuk tiga segi, gabungan kemasan krom dan hitam berkilat pada bampar depan, bumbung kaca panoramik dan perumah cermin sisi berwarna hitam, roof rails, cermin tingkap tanpa bingkai, hendal pintu tertanam serta rim bersaiz 21 inci. 

Masuk ke ruang kabin, anda akan merasai aura kemewahannya menerusi penggunaan material berkualiti tinggi dan susun atur yang elegan. Walaupun nampak kompak, tetapi ia masih mampu menawarkan ruang yang luas untuk pemandu dan penumpang belakang. 

Papan pemuka dihuni oleh skrin berdefinisi tinggi bersaiz 12.8 inci untuk sistem audio dan kawalan kenderaan seperti pendingin hawa. Kokpit berbentuk T yang minimalis itu juga hadir dengan pilihan 64 warna lampu ambien yang pasti boleh disesuaikan kepada apa jua mood anda. 

Reka bentuk konsol tengah yang agak tinggi itu membuatkan anda seakan-akan terpisah dengan penumpang hadapan. Di bawah konsol tengah juga terletak ruang untuk menyimpan barangan peribadi. Duduk di kerusi belakang, ia menawarkan ruang kaki, bahu dan kepala yang luas. Penggunaan warna cerah juga membuatkan ruang tersebut tidak terasa klaustrofobik.  

smart #1 dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang mampu menjana 268hp dan tork 343Nm. Kuasa daripada pek bateri berkapasiti 66kWh itu disalurkan ke roda belakang yang mampu mencatat pecutan 0-100km/j dalam masa 6.7 saat. Dengan sekali caj, ia boleh bergerak sekitar 420km hingga 440km dan kelajuan dihadkan kepada 180km/j. 

Rangkaian kuasa tersebut menawarkan pengecasan AC 72kW dan DC 150kW.  

Sesi pandu uji hari itu hanya mengambil masa kurang 20 minit. Apa yang boleh saya katakan ialah smart #1 mampu menawarkan pengalaman pemanduan yang senyap, bertenaga, stabil dan menyenangkan. Memandu di atas litar dengan sudut menaik dapat dilakukan dengan mudah dan meyakinkan, walaupun pada kelajuan agak tinggi. 

Ketika melalui simulasi jalan berlubang, keselesaan ruang kabin smart #1 memang menyerlah. Bunyi bising dari luar dan olengan badan kereta adalah minimum.  

Tipikal sebuah EV moden, semua butang kawalan disorokkan ke dalam skrin paparan di tengah papan pemuka. Jadi, anda memerlukan sedikit masa untuk mennyesuaikan diri, biarpun hanya untuk menukar tetapan pendingin hawa. 

smart #1 akan dijual dan diedarkan secara eksklusif oleh pihak Pro-Net. Ia diangka diperkenalkan secara rasmi ke pasaran Malaysia pada suku keempat tahun ini. Dengan semakin banyak EV bakal dilancarkan, pilihan untuk pengguna pastinya lebih meriah. 

GALERI

Google ads
Back to top button