DUA PENJENAYAH LARIKAN DIRI LEBIH 2OKM DITAHAN POLIS
Dua penjenayah yang melarikan diri sejauh lebih 20 kilometer berjaya ditahan selepas kenderaan mereka terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Pengkalan di sini pada pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 9 pagi suspek yang menaiki kereta Toyota Vios telah dikejar oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sejauh lebih 20 kilometer (KM) dari Kampung Lapan, Bachang hingga ke lokasi kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati setiba di lokasi kejadian, kenderaan suspek yang sedang memecut laju kemudian telah menyongsang arah sebelum merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara di persimpangan lampu isyarat berkenaan.
“Dipercayai kenderaan suspek telah dikejar polis dari arah Durian Tunggal menghala ke Alor Gajah.
“Namun setiba di persimpangan lampu isyarat itu, pemandu bertindak menyongsang arus lalu bertembung secara berdepan dengan pacuan empat roda yang datang dari arah Alor Gajah menghala ke Durian Tunggal.
“Akibat kemalangan itu suspek pemandu serta penumpang masing-masing berusia 45 dan 20 tahun mengalami patah dan cedera kaki kanan dirawat di Hospital Alor Gajah,” katanya.
Tambahnya, pemandu pacuan empat roda berusia 35 tahun dan mengusahakan tanaman sayur bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ujarnya, kedua-dua lelaki yang merupakan penganggur dan beralamat di Pantai Dalam, Kuala Lumpur dan Bandar Baru Selayang, Selangor akan ditahan untuk siasatan lanjut.
Katanya, pemeriksaan yang dilakukan dalam kenderaan suspek turut menjumpai sejumlah dadah dan alatan pecah rumah dan disyaki suspek adalah penjenayah.
“Unit peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah juga membantu dalam operasi berkenaan namun kes akan diserah untuk siasatan kepada IPD Melaka Tengah,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu cuai hingga mengakibatkan kemalangan. – Sinar Harian
- BACA: HULALA BIKE FIESTA KEMBALI SEPTEMBER INI DENGAN LEBIH BANYAK PROMOSI ISTIMEWA
- BACA: MERCEDES-AMG GT3 EDITION 130Y MOTORSPORT, 13 BUAH TANPA HOMOLOGASI, HAMPIR RM5 JUTA!
- BACA: PROTON SAGA CATAT JUALAN TERTINGGI DALAM SATU DEKAD, LANCAR KEMPEN “SAGA-MERDEKA MUDAH DIMILIKI”
- BACA: UMW TOYOTA RASMI BUKA PUSAT 3S BAHARU DI KOTA SAMARAHAN, SARAWAK