Buletin

FOTO INTIP: LEAPMOTOR C10 DIUJI DI MALAYSIA, BAKAL DILANCARKAN TAK LAMA LAGI

Pada Malaysia Autoshow 2024 yang berlangsung Mei lalu, jenama kenderaan elektrik (EV) dari Stellantis, Leapmotor, telah memperlihatkan model pertama menjejakkan kaki ke pasaran tempatan, iaitu Leapmotor C10.

Berdasarkan foto intip eksklusif yang diterima, model ini dilihat sedang menjalani ujian di jalan raya Malaysia, menandakan persediaan serius syarikat tersebut untuk melancarkan model ini pada suku keempat tahun 2024.

Dari segi dimensi, Leapmotor C10 hadir dengan ukuran panjang 4,739mm, lebar 1,900mm, dan tinggi 1,680mm, manakala jarak roda model ini ditetapkan pada 2,285mm.

Ukuran ini menjadikannya sebuah SUV elektrik yang agak besar, memberi lebih ruang dalaman yang selesa untuk pengguna.

Menurut maklumat yang diperoleh daripada taklimat akhbar global baru-baru ini, Leapmotor C10 bakal ditawarkan dengan jarak gerak sehingga 420km berdasarkan penilaian WLTP.

Model ini dikuasakan oleh bateri jenis LFP (lithium iron phosphate) dengan kapasiti 69.9kWh, membolehkannya menyaingi EV sedia ada dalam segmen yang sama.

Jika spesifikasi dari pasaran China diteruskan untuk model global, Leapmotor C10 dijangka hadir dengan motor elektrik 228hp yang dipasang di bahagian belakang.

Motor ini mampu menghasilkan tork maksimum 320Nm, membolehkan EV ini memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa hanya 7.29 saat.

Kelajuan tertinggi pula dihadkan pada 170km/j, menjadikannya cukup berdaya saing dalam pasaran EV.

Di China, Leapmotor C10 dengan bateri 69.9kWh dijual pada harga sekitar RM90,903 hingga RM109,420.

Setibanya Leapmotor C10 di pasaran Malaysia pada suku keempat 2024, ia bakal menjadi pesaing sengit kepada model-model seperti BYD Atto 3, Chery Omoda E5, Neta X, dan GAC Aion Y Plus.

Dengan kemasukan Leapmotor C10 ke pasaran, pengguna tempatan akan mempunyai lebih banyak pilihan dalam segmen SUV elektrik, sekali gus merancakkan lagi persaingan dalam industri automotif EV di Malaysia.

Google ads
Back to top button