Buletin

MERCEDES-AMG GT3 EDITION 130Y MOTORSPORT, 13 BUAH TANPA HOMOLOGASI, HAMPIR RM5 JUTA!

Tahun ini Mercedes-AMG meraikan ulang tahun ke-130 penglibatan sukan permotoran Mercedes-Benz.

Tarikh sambutan ulang tahun perlumbaan dijejak pada pertandingan automotif pertama dari Paris ke Rouen pada 22 Julai 1894 dan dimenangi oleh enjin Daimler yang dilesenkan.

Bukti fizikal sambutan tersebut ditunjukkan pada 13 buah edisi terhad Mercedes-AMG GT3 Edition 130Y Motorsport.

Kereta itu menggabungkan teknologi sukan permotoran canggih dan rekaan tradisional kereta lumba era 50-an.

Mercedes-Benz 300 SL W 194 tahun 1952 merupakan sumber ilham kepada jentera ini.

Warna perak mengingatkan kepada jentera legenda Silver Arrows. Biru pada dapra dan bingkai radiator merujuk kepada kereta lumba yang melakar sejarah kejayaan sebelum ini.

Skema warna tersebut boleh dilihat pada kereta yang dipandu Hans Klenk dan Karl Kling di dalam perlumbaan Carrera Panamericana selain Hermann Lang dan Fritz Riess di dalam Le Mans.

Walaupun menggunakan nama GT3, kereta ini tidak dihomologasi untuk perlumbaan tersebut dan boleh digunakan untuk sebarang acara tanpa peraturan selain menjadi objek simpanan berharga.

Tidak dihomologasi juga bermakna enjin bebas ditala dan tidak perlu mengikut tetapan perlumbaan GT3.

Enjin AMG 6.3 liter V8 naturally-aspirated telah dipertingkat dan tanpa penghalang udara dan dengan sistem ekzos istimewa menghasilkan 680 kuasa kuda (hp) pada 7,250 rpm.

Daya kilas setinggi 730Nm pada 5,250 rpm dan kelajuan tertinggi melebihi 315 kilometer sejam (km/j).

Kuasa disalurkan ke roda melalui transmisi enam kelajuan berjujukan dengan nisbah gear yang diubah suai.

Seperti kereta lumba Mercedes-AMG lain, transmisi transgandar dipasang pada gandar belakang dan dihubungkan dengan enjin oleh batang daya kilas (torque tube) gentian karbon.

Perkakasan aerodinamik kereta telah menjalani program pembangunan mendalam dan mempunyai daya mendap 15 peratus lebih tinggi berbanding model asas GT3.

Peningkatan tersebut hasil dari pemisah dan liang udara sayap depan yang direka semula. Perubahan pada skirt sisi, bahagian bawah lantai dan peresap belakang turut meningkatkan daya mendap.

Spoiler belakang juga lebih lebar dan membantu mengoptimumkan keseimbangan aerodinamik.

Sistem Pengurangan Seretan (DRS) merupakan ciri baharu dan diinspirasi dari Formula 1® and Class 1 DTM.

Melalui butang pada stereng, pemandu boleh meletakkan bahagian utama sayap pada kedudukan rata untuk pengurangan seretan.

Bagi mengekalkan keseimbangan aerodinamik, perkakasan aktif pada lantai depan turut sama beroperasi.

Pakej teknologi tersebut membolehkan kereta dipecut melebihi 315 km/j walaupun pada tahap daya mendap yang tinggi.

Semasa pecutan dan nyah pecut lateral (ke sisi), perkakasan aktif kembali kepada kedudukan asal. 

Perkakasan ampaian terdiri daripada empat batang penyerap hentak boleh laras empat arah jenis perlumbaan.

Sistem pembrekan kereta urut diinspirasi dari Formula 1®. Tidak seperti cakera besi yang diwajibkan di dalam perlumbaan GT3, kereta ini dipasang cakera yang dibuat dari karbon.

Penggunaan cakera karbon secara langsung mengurangkan berat atau lebih ringan daripada unit GT3 yang dihomologasi.

Turut dilengkapi ABS perlumbaan dan sistem kawalan cengkaman pelbagai larasan. Rim yang digunakan saiz 18 inci.

Untuk perkakasan keselamatan, bahagian dalam kereta diisi rangka keselamatan dan sel keselamatan gentian karbon yang bersambung dengan casis.

Lagi kelengkapan seperti jaring keselamatan, tali pinggang keledar lima sudut, sistem pemadam kebakaran dan tangki keselamatan bahan api 120 liter.

Skrin Bosch DDU 10 terpampang di sebalik stereng buatan khas dengan gelung kayu.

Bahagian dalam kereta diilhamkan dari Mercedes-Benz SLR 300 1955 yang mencipta kejayaan di peringkat dunia hasil pemanduan Juan Manuel Fangio.

Balutan kerusi corak biru berkotak begitu menyerlah selain tali pintu dari kulit coklat.

Selepas dua tahun program pembangunan dan pengujian, pelumba Mercedes-AMG Performance, Jules Gounon telah mencipta rekod di Litar Gunung Panorama di Australia.

12h Bathurst 2024 - REPCO Bathurst 12 Hour - Intercontinental GT Challenge Round 1 - Foto: Gruppe C Photographya

Rekod yang dibuat di litar berjarak 6.213 km pada 17 Februari 2024 dengan unit prototaip ialah 1 minit 56.605 saat atau 2.074 saat lebih pantas berbanding kereta GT sebelum ini.

Didatangkan bersama setiap buah kereta ialah beberapa kelengkapan perlumbaan dan istimewa seperti sut lumba, sarung tangan, pakaian dalam perlumbaan, topi keledar dan kasut.

Pelanggan juga menerima beg khas, model skala 1:8 dan sijil ketulenan. Harga untuk memiliki Mercedes-AMG GT3 Edition 130Y Motorsport ialah 1,030,000.00 euro (RM4,999,977) tidak termasuk VAT.

Google ads
Back to top button