
JPJ, PDRM SELARAS SAMAN LALU LINTAS, BAYAR AWAL DAPAT DISKAUN 50 PERATUS
Mulai 1 Januari depan, kadar dan kaedah kompaun saman trafik dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diselaras bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang jalan raya lebih seragam.
Keputusan itu dibuat Jemaah Menteri pada 17 Oktober lalu selepas mendapati terdapat perbezaan ketara dalam kaedah kompaun serta pelaksanaan tindakan antara kedua-dua agensi terbabit.
Mengumumkan perkembangan itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata prinsip baharu pembayaran saman akan turut diperkenalkan, iaitu lebih awal menjelaskan bayaran saman, lebih rendah kadar kompaun selepas diberikan diskaun.
“Kita mahu pastikan pendekatan penguatkuasaan lebih adil dan konsisten kerana selama ini, ada kekeliruan dalam kadar dan cara pelaksanaan JPJ dan PDRM. Dengan pelarasan ini, kadar kompaun akan diseragamkan.

“Ia supaya tidak timbul lagi persepsi bahawa penguatkuasaan undang-undang jalan raya tidak seragam. Prinsip baharu akan diguna pakai ialah The Less You Delay, The Less You Pay, iaitu lebih awal seseorang menjelaskan saman, lebih rendah kadar kompaunnya,” katanya.
Menjelaskan demikian pada sidang media bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Pusat Media Parlimen hari ini, berkata mereka yang menjelaskan segera bayaran saman akan menerima insentif.
“Kaedah sebelum ini yang memberi diskaun hanya semasa kempen khas akan digantikan kerana ia tidak adil kepada mereka yang bayar saman lebih awal,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan struktur baharu itu, bayaran yang dibuat dalam tempoh 1 hingga 15 hari selepas tarikh notis akan menikmati pengurangan 50 peratus, manakala 16 hingga 30 hari mendapat pengurangan 33 peratus.
“Bayaran dijelaskan dalam tempoh antara 31 hingga 60 hari dikenakan kadar kompaun maksimum, manakala selepas 61 hari, tindakan mahkamah dan senarai hitam akan dikenakan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, insentif baharu itu tidak terpakai bagi kesalahan serius yang tidak boleh dikompaun seperti tiada insurans, tiada lesen memandu atau mempamerkan lesen kenderaan motor (LKM) palsu.
“Kesalahan seperti memandu tanpa insurans adalah serius dan mesti dibawa ke mahkamah. Tiada kompromi untuk kesalahan seperti itu,” katanya.
Dalam tempoh peralihan sebelum pelaksanaan penuh sistem baharu itu, Loke berkata, kerajaan menawarkan kompaun khas bermula 1 November hingga 30 Disember dengan pengurangan antara 50 hingga 70 peratus bagi saman boleh dikompaun dikeluarkan JPJ dan PDRM.
“Selepas tempoh itu, prinsip The Less You Delay, The Less You Pay sepenuhnya dan tiada lagi tawaran diskaun untuk saman yang tidak dibayar. Saya menggesa semua pengguna jalan raya segera menjelaskan saman masing-masing sebelum 30 Disember ini” katanya.
Beliau menggalakkan orang ramai membuat semakan dan membuat pembayaran melalui portal MySikap, aplikasi MyJPJ, MyBayar PDRM serta semua kios JPJ atau semua saluran pembayaran saman PDRM. – Berita Harian
- BACA: OMODA & JAECOO CIPTA REKOD JUALAN GLOBAL BAHARU
- BACA: TOYOTA LAND CRUISER FJ DIPERKENAL DI JEPUN – ENJIN 2.7L, 161HP, DEBUT DI JAPAN MOBILITY SHOW 2025
- BACA: LAGI IMEJ HONDA CB1000 GT BOCOR, DOKUMEN TERBARU DEDAH 150HP
- BACA: RAPIDO PERKENAL TIGA PRODUK BERPRESTASI TINGGI UNTUK PASARAN MALAYSIA







