MCMC, PDRM SITA PERALATAN PANCING DATA DIGUNAKAN DARI DALAM KERETA
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyita sebuah kereta yang dilengkapi pelbagai peralatan untuk kegiatan memancing data (phising) selepas memeriksa kenderaan dinaiki seorang suspek dekat Cheras.
Individu berkenaan dikesan menerusi operasi yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan maklumat daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi, Maxis.
SKMM dalam kenyataan berkata, suspek menggunakan kenderaan bagi menjalankan kegiatan phishing berkenaan.
“Suspek akan memberhentikan kenderaan di bahu jalan bagi menyebarkan SMS phishing kepada pengguna talian aktif di kawasan berkenaan.
“Kegiatan suspek dikenal pasti menerusi analisis spektrum oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi bacaan spektrum yang dipancarkan daripada peralatan komunikasi milik suspek yang juga menyebabkan gangguan kepada kualiti perkhidmatan rangkaian,” katanya.
Menurut MCMC, pemeriksaan terhadap kenderaan digunakan suspek menemui peralatan komunikasi seperti telefon pintar, GSM blaster, antena transceiver dan komputer riba yang disambungkan kepada kenderaan berkenaan.
“Semua peralatan berkenaan yang dipercayai digunakan suspek bagi tujuan menghantar SMS untuk memperdaya pengguna disita untuk siasatan lanjut.
“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar jangan terpedaya dan tidak sesekali klik pada sebarang pautan menerusi SMS sebagaimana arahan dikeluarkan MCMC pada tahun lalu bagi melindungi orang ramai agar tidak menjadi mangsa penipuan dalam talian,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 233, 238 dan 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Siasatan juga dijalankan di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) (Pindaan) 2022 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
“SKMM menyeru orang awam jika terlihat kenderaan mencurigakan yang mempunyai penyambungan peranti komunikasi sebagaimana dinyatakan di atas untuk berkongsi maklumat dan melaporkan terus kepada MCMC atau PDRM,” katanya. – Berita Harian
- BACA: ADA APA DENGAN FERRARI, TELEFON PINTAR DAN SISTEM NAVIGASI?
- BACA: MERCEDES-AMG C43 4MATIC DILANCARKAN – JANA 408HP, HARGA BERMULA RM443K
- BACA: KALAH SAING DARI CHINA, PENGELUAR KERETA JEPUN KINI FOKUS BANGUN KERETA PINTAR
- BACA: SMART MALAYSIA LANCAR PROGRAM PERKHIDMATAN SELEPAS JUALAN SMARTCARE