Buletin

FORD AKAN BUANG SEMUA MODEL SEDAN DI AMERIKA UTARA DALAM MASA 5 TAHUN LAGI

Peralihan minat pengguna di Amerika Utara kepada SUV dan crossover membuatkan Ford terpaksa mengesahkan langkah untuk menamatkan jualan serta pengeluaran model sedannya di pasaran tersebut.

Pengumuman itu dibuat berikutan keputusan kewangan suku pertama 2018 yang kurang memberangsangkan. Jadi, Ford dilapor tidak akan melabur ke dalam model-model sedan tradisional seperti Ford Fusion, Fiesta dan Taurus.

Biarpun begitu, Ford akan terus menawarkan model sports coupe Mustang. Selain bakal melancarkan Focus Active serta baharu tahun depan.

Pengeluar itu juga memberitahu wujud kemungkinan ada model crossover tambahan yang menggabungkan aspek posisi pemanduan lebih tinggi, ruang dan versatiliti akan ditawarkan nanti.

“Kami komited untuk mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk memacu pertumbuhan dan memaksimumkan keuntungan dalam jangka masa panjang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ford, Jim Hackett.

Langkah tidak lagi menawarkan rangkaian model sedan yang dilihat agak drastik kerana pengeluar lain masih mahu mengekalkan sedan mereka.

Antaranya ialah Fiat Chrysler Automobile yang terus mengeluarkan model Chrysler 300 dan Dodge Charger, walaupun ia akan fokus dalam penghasilan trak serta SUV.

Masih belum dapat dipastikan sama ada ini satu langkah bijak atau sebaliknya. Namun, persoalan itu mungkin akan terjawab apabila pengguna mula menerima kenderaan elektrik dan harga bahan api semakin naik. 

Google ads
Back to top button